JASIN – Tiga penternak lembu di Kampung Serkam Darat di sini kerugian puluhan ribu ringgit apabila kandang ternakan 70 ekor lembu ditenggelami banjir kilat dalam kejadian 6 pagi semalam.
Mohd Zamri Salihin, 42, berkata, kejadian disedari orang kampung yang menelefonnya memberitahu 70 ekor lembu yang dikongsi bersama dua rakannya ditenggelami banjir hingga ke paras hampir 1.5 meter.
“Waktu itu, dalam fikiran saya sudah terbayangkan habislah modal perniagaan lebih RM300,000 yang baru dilaburkan dalam bidang ternakan ini sejak enam bulan lalu.
“Sebaik sampai, saya lihat semua haiwan sedang dalam keadaan terkapai-kapai berenang sebelum saya berjaya menyelamatkan tujuh ekor anak lembu naik ke atas pacuan empat roda yang turut tenggelam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Zamri berkata kejadian itu adalah yang terburuk berlaku kerana sebelum ini banjir hanya naik ke paras 0.3 meter sahaja di lokasi kandang terletak belakang sungai itu.
“Ini pun tak tahulah apa nasib lembu dan anak-anaknya yang terselamat kerana biasanya jika ditenggelami banjir, lebih seminggu barulah haiwan ini menunjukkan simptom-simptom dijangkiti penyakit.
“Mujurlah banjir tidak lama sebelum ia semakin surut tiga jam kemudian,” katanya.
Seorang lagi penternak, Tumin Ahmad, 55, berkata walaupun kesemua 70 ekor lembu mereka dapat diselamatkan, beberapa peralatan mesin untuk kegunaan di kandang rosak ditenggelami banjir.
“Set generator, mesin memotong, dan mesin jet air bertekanan tinggi semuanya rosak dan memerlukan kos pembaikan yang mahal.
“Malah, makanan lembu berupa tahi minyak sawit yang baru sampai juga rosak menyebabkan saya kerugian hampir RM10,000.
Menurutnya, semua kerosakan sudah dilaporkan kepada pihak polis dan Jabatan Veterinar Negeri dan berharap mendapat bantuan sewajarnya untuk mengurangkan beban penternak. – MalaysiaGazette