Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal ke atas kanak-kanak lelaki berusia enam tahun. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 OKTOBER 2024.

TAIPING – Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal ke atas kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.

Tertuduh, Abd Razak Harun, 48, dan Syarifah Mat Yusof, 33, sebagai bapa dan ibu tiri kepada kanak-kanak tersebut mengaku bersalah selepas pertuduhan bersama dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah mendedahkan anak lelaki mereka berusia enam tahun itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Taman Permai Ladang Kalumpang, Bagan Serai di daerah Kerian pada Februari sehingga 10 Oktober 2024.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2021 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ng Yan Ni tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh kerana dibimbangi berlaku kacau ganggu terhadap mangsa yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Taiping.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Varpal Singh Sagoo memohon supaya pasangan tersebut ditawarkan jaminan RM5,000 seorang.

Katanya, Abd Razak yang bekerja sebagai mekanik memperoleh pendapatan sebanyak RM2,200 sebulan dan menanggung empat orang anak manakala isteri tertuduh adalah suri rumah.

Beliau kemudiannya, mencadangkan supaya Syarifah dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental kerana sebelum ini tertuduh pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Parit Buntar dan pihak pendakwaan tiada bantahan berhubung perkara tersebut.

Sehubungan itu, Nabisha membenarkan Syarifah untuk dirujuk ke HBUK bagi mendapatkan laporan perubatan kesihatan mental di bawah Seksyen 342 (2) Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh serta menetapkan 14 November depan sebagai sebutan semula bagi menunggu laporan perubatan mangsa dan laporan kesihatan mental wanita berkenaan.

Pada 12 Oktober lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai mangsa penderaan bapa dan ibu tirinya di Ladang Kalumpong, di sini, berjaya diselamatkan polis pada 10 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Juna Yusoff berkata, mangsa berusia enam tahun mengalami kecederaan di muka, dada, perut, kedua-dua tangan, kaki dan peha selepas dipukul bapa dan ibu tirinya.

Menurut beliau, pihak polis telah menerima satu laporan penderaan ke atas kanak-kanak berkenaan pada jam 4.09 petang 10 Oktober lalu sebelum bergegas ke lokasi kejadian. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here