Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas eksekutif kanan sebuah syarikat berkaitan petroleum dan gas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM370,000 sebagai balasan bagi mendapatkan kontrak untuk melantik konsultan bagi syarikat berkenaan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas eksekutif kanan sebuah syarikat berkaitan petroleum dan gas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM370,000 sebagai balasan bagi mendapatkan kontrak untuk melantik konsultan bagi syarikat berkenaan.

Perintah reman selama empat hari sehingga 18 Oktober 2024 telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an telah ditahan kira-kira jam 5.30 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Siasatan awal mendapati suspek pada ketika itu yang bertugas sebagai Eksekutif Kanan di sebuah syarikat berkaitan petroleum dan gas dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada empat individu terbabit bagi membolehkan mereka dilantik sebagai konsultan pakar geologist untuk kerja-kerja di syarikat tersebut.

“Kesemua individu terbabit dibayar antara RM750 hingga RM2,100 sehari bergantung kepada kadar bayaran konsultan pakar geologi dan tawaran yang diputuskan oleh syarikat suspek.

“Suspek disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik suspek daripada akaun bank keempat-empat individu tersebut yang berjumlah antara RM150 hingga RM500 sehari,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here