IMBAS SEMULA. Anggota polis membawa suspek kes tembak di Balai Ketibaan KLIA 1, Hafizul Hawari 38 atas pertuduhan cuba membunuh isterinya di Kompleks Mahkamah Sepang, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 25 APRIL 2024.

SEPANG – Mahkamah Seksyen Sepang menetapkan kes terhadap pengurus syarikat agensi pelancongan Hafizul Hawari yang didakwa cuba membunuh isterinya dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi kepada wanita itu, disebut semula pada 26 Nov.

Hakim Amir Affendy Hamzah menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam yang mewakili Hafizul, Nik Azim Azlan memohon untuk meneliti dokumen termasuk laporan kimia yang diserahkan pihak pendakwaan hari ini.

“Meminta tarikh untuk penelitian dokumen untuk melihat sama ada lengkap atau tidak dokumen-dokumen tersebut,” katanya pada sebutan kes itu di sini hari ini.

Pada 25 April, Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 1.09 pagi, 14 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, Hafizul didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.- BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here