Ketua Sayap Bersekutu, Dr Chong Fat Full bercakap pada sidang media Sayap Bersekutu Bersatu Malaysia ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Yayasan Selangor, Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 15 OKTOBER 2024.

PETALING JAYA – Dr Chong Fat Full berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) pada pemilihan Sabtu lepas bagi penggal 2024-2027.

Manakala Datuk Sri Sanjeevan pula berjaya meraih kemenangan bagi jawatan nombor dua parti itu, Naib Ketua Bersekutu berkuatkuasa tiga tahun akan datang.

Selain daripada itu, dua jawatan utama tanpa pertandingan iaitu Pengerusi Tetap Bersekutu diperolehi oleh Chelvarajah Suppiah manakala timbalannya, Subramaniam Purushothama.

Seramai 15 belas Ahli Jawatankuasa atau Exco Pusat turut berjaya memenangi jawatan itu pada pemilihan parti itu, kebanyakannya dipercayai daripada ‘kem’ Dr Chong.

Dalam pada itu, ketika sidang media pengumuman,  Dr Chong positif dengan barisan kepimpinan sayap Bersatu yang akan dipimpin olehnya bersama-sama Sanjeevan untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Kata Dr Chong, kebanyakan yang menang juga bukanlah baharu dalam dunia politik.

“Saya amat positif Bersekutu akan dapat memberikan kerjasama cukup padu kepada Bersatu khasnya dengan perjuangan asal, mendekati pengundi bukan Melayu dalam parti ini. Ini bukan sesuatu yang mudah namun pada masa sama bukanlah mustahil untuk dilakukan.

“Dengan adanya pelbagai pimpinan berpengalaman dalam sayap ini, pastinya kita akan dapat membawakan kegemilangan dalam tempoh sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 kelak. Banyak yang kita perlu lakukan tapi saya amat optimis dengan gandingan ini.

“Ramai yang kata kita (Bersekutu) ini kelas kedua. Itu hanya persepsi salah, kita sama-sama gemilangkan Bersatu malah setiap usaha yang dilakukan adalah bersama-sama, kita tidak ambil sikap sambil lewa,” katanya di sini hari ini. 

Barisan pimpinan tertinggi dan Ahli Jawatankuasa sayap Bersatu, Bersekutu bagi penggal 2024-2027.

Dr Chong juga menyatakan akan adanya lima lantikan bagi menyertai jawatankuasa Bersekutu sebelum November ini.

Sementara itu, kata Sanjeevan yang sebelum ini Ketua Penerangan Sayap Bersekutu, beliau bersedia memikul tanggungjawab membawa masuk lebih ramai ahli serta penyokong Bersekutu.

“Kita ada kira-kira 35,000 ahli seluruh negara, angka ini perlu naik, kami akan kerja keras dengan memberi advokasi, penerangan kepada umum khasnya masyarakat India dan Cina tentang kepentingan menyokong Bersatu dan Bersekutu.

“Ada juga yang masih ditakuk lama, enggan sertai kita kerana adanya Pas. Tapi dulu Pakatan Harapan (PH) juga pernah bekerjasama dengan Pas, ketika itu juga masih ada ramai Cina dan India menyokong PH walaupun ada Pas. Jadi naratif ini tidak boleh digunakan lagi.

“Pihak lawan juga tidak boleh terus menyemai sentimen kebencian atau penolakan golongan bukan Melayu dalam menyokong Bersatu dan Bersekutu. Ini antara cabaran untuk kita tapi kita mampu gunakan peluang ini dalam masa tiga tahun akan datang ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here