Dua ekor anjing baka terhad yang cuba dibawa masuk dengan permit palsu dirampas MAQIS dalam pemeriksaan Sabtu lalu. Ihsan Maqis Selangor

SEPANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor telah menahan dua ekor anjing kategori baka terhad (Rottweiler) yang dibawa masuk dari Netherlands Sabtu lalu.

Pengarahnya, Mohd Sobri Md Hashim berkata, pihaknya mendapati dua ekor anjing baka terhad itu dibawa masuk menggunakan dokumen Permit Import Maqis yang palsu.

Katanya, hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai penguatkuasa MaqisS di tapak pemeriksaan MAQISFCZ KLIA Kargo mendapati permit import Maqis yang dikemukakan adalah meragukan.

“Semakan lanjut berdasarkan nombor rujukan permit didalam sistem iMAQIS mendapati  permit yang dikemukakan adalah palsu dan telah disunting menggunakan permit import yang telah digunakan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengisytiharkan dokumen yang palsu.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Mana-mana pengimport yang ingin membawa masuk anjing kategori baka terhad ke dalam negara perlu mendapatkan surat kelulusan khas daripada Ketua Pengarah Maqis.

“Pihak jabatan perlu membuat penilaian berdasarkan justifikasi membawamasuk anjing yang dikemukakan oleh pemohon sebelum memberikan kelulusan,’ ujar beliau.

Selain itu pengimport juga perlu memohon permit import dan mematuhi semua syarat yang telah ditetapkan oleh Maqis bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas,
ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here