Norfarahain menunjukkan rekod perubatan dan buku rawatannya ketika ditemui di kediamannya di Taman Pelangi, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita yang menderita kanser kini semakin lemah dan kerap sesak nafas selepas terputus bekalan ubat sejak dua bulan lalu kerana tidak mampu membiayai kosnya.

Norfarahain Abd Manap, 35, yang menghidap kanser paru-paru tahap dua berkata, memerlukan bekalan ubat iaitu suntikan pembrolizumab dengan harga sebotol RM20,000.

Disebabkan tidak lagi mengambil suntikan tersebut, dia mendakwa kerap sesak nafas hingga bergantung kepada bantuan oksigen.

Perkembangan itu katanya, secara tidak langsung boleh memendeknya hayatnya kerana meningkatkan risiko sel kanser merebak ke organ lain.

Ibu kepada dua anak itu sedar harapannya untuk melawan kanser semakin tipis dan kini hanya berserah kepada Allah dalam menghadapi cabaran tersebut.

“Sebelum ini saya hanya sesekali menggunakan mesin oksigen namun kini hampir setiap petang dan malam saya terpaksa bergantung kepada mesin oksigen kerana kerap sesak nafas,” katanya.

Menurutnya, suntikan itu bertujuan meningkatkan sistem imunisasi badan bagi mengesan, melawan sel tumor secara sasaran dan meningkatkan peluang hidup buat penghidap kanser paru-paru.

Menurutnya, sebelum ini dia memperoleh sebahagian bekalan berkenaan yang disumbang oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).

“Saya bersyukur kerana sehingga kini MAIJ dan MINDEF menaja 10 botol suntikan bernilai keseluruhan RM200,000.

“Saya masih memerlukan dana RM220,000 bagi mendapatkan bekalan 14 lagi suntikan seperti yang dinasihatkan doktor,” katanya ditemui di rumahnya di Taman Pelangi di sini hari ini.

Katanya, pendapatan suaminya hanya kira-kira RM2,000 dan perlu menanggung persekolahan anak serta kos pembelian ubatnya termasuk ubat cairkan darah, susu khas disyorkan doktor selain vitamin.

“Nak kumpul RM2,000 untuk menjalani Imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET Scan) pun perit, inikan pula untuk mendapatkan bekalan ubat lawan sel tumor keseluruhan bernilai RM220,0000.

“Kami bukan memiliki harta, rumah yang kami tinggal ini juga disediakan oleh majikan suami kerana bersimpati dengan keadaan saya kerana tidak sesuai tinggal di kuarters,” katanya.

Disebabkan kekurangan wang, dia terpaksa menangguh menjalani pemeriksaan PET Scan di hospital swasta bagi mendapatkan laporan dengan segera seperti dinasihatkan doktor.

Pada masa ini Norfarahain menjalani kimoterapi kitaran keempat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini sebanyak tiga hari seminggu serta mendapatkan suntikan bagi meningkatkan sel darah putih.

“Saya kuatkan semangat demi anak-anak kerana memikirkan masa depan mereka, mereka amat memerlukan didikan ibu.

“Saya bersyukur kerana suami, Muhammad Adam Abdullah, 30, yang bekerja sebagai anggota tentera mahupun majikannya amat mengambil berat berkaitan kesihatan saya,” katanya.

Norfarahain didiagnos menghidap kanser limfoma peringkat awal pada Ogos 2022 dan menjalani kimoterapi sebanyak enam kitaran dan tamat pada Februari tahun lalu.

Sel kanser Norfarahain kembali aktif pada Jun tahun lalu dan sudah mencecah tahap dua dan hasil pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan), didapati memiliki ketumbuhan sebesar 12 sentimeter di paru-paru hingga menganggu sistem pernafasan.

Orang ramai yang ingin membantu Norfarahain boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank miliknya di 162786154316.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast