JIM Johor menahan tujuh penjaja burger warga asing dalam Ops Jaja di sekitar Bandaraya Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan tujuh penjaja burger warga asing dalam Ops Jaja di sekitar bandar raya ini malam tadi.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi penguatkuasaan itu dijalankan sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa JIM Johor pukul 8 malam.

“Tindakan diambil susulan maklumat awam berhubung warga asing yang dipercayai bekerja tanpa pas atau permit yang sah serta berniaga tanpa lesen yang sah.

“Dalam operasi ini, seramai lapan warga asing dan warga tempatan diperiksa. Daripada jumlah itu tujuh ditahan melibatkan tiga lelaki warganegara Bangladesh.

“Ini termasuk juga seorang lelaki dan seorang wanita Indonesia, seorang wanita Myanmar serta seorang lelaki warga India,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Rusdi, mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 45 tahun.

Semua warga asing itu ditahan atas kesalahan bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Begitu juga, katanya, mereka dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.

Beliau berkata, JIM Johor akan terus komited membanteras warga asing yang menyalahgunakan kemudahan dan pas untuk tinggal dan bekerja di negara ini.

“Jabatan ini tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here