Palestinians carry some salvaged belongings as they leave the Jabalia refugee camp in the northern Gaza Strip after they returned briefly to check on their homes on May 31, 2024, amid the ongoing conflict between Israel and the militant group Hamas. (Photo by Omar AL-QATTAA / AFP)

INSIDEN kebakaran yang terjadi di pekarangan Hospital al-Aqsa, tengah Gaza pada 14 Oktober 2024 adalah satu mimpi ngeri yang mungkin tidak akan dapat dilupakan kerana secara jelas kita menyaksikan puluhan rakyat Gaza menjerit meminta tolong ketika tubuh mereka diratah api.

Tragis tetapi pihak antarabangsa – Amerika Syarikat (AS) terutamanya – masih mendiamkan diri, membutakan mata dan memeluk tubuh kerana mereka percaya, Israel berhak untuk mempertahankan diri rentetan daripada serangan 7 Oktober 2023.

Di manakah kita? Genap setahun Gaza dibedil, masih ada segelintir masyarakat dunia yang terperangkap dengan naratif Zionis. Mereka inilah yang percaya bahawa tanah Palestin adalah tanah yang dikhususkan untuk bangsa Yahudi, selain mempertahankan hak rakyat Israel yang menjadi mangsa serangan 7 Oktober 2023.

Persoalannya, benarkah rakyat Israel adalah mangsa?

Jika menelusuri sejarah, rakyat Palestin terlebih awal menjadi mangsa penindasan kuasa luar yang mana ketika itu British menjajah Palestin dan menyokong idea penubuhan Israel melalui Deklarasi Balfour pada 1917.

Sejak daripada Perang Dunia Pertama (WWI) pada 1914, populasi bangsa Yahudi di Palestin hanya sekitar 80,000 orang sebelum berkembang kepada 646,000 orang pada 1948. Pada waktu itu, bangsa Yahudi telah merampas sekitar 6% tanah milik penduduk Palestin.

Perkembangan populasi bangsa Yahudi di Palestin turut terkait dengan pengisytiharan 15 Mei 1948 sebagai tarikh penubuhan negara haram Israel.

Kejayaan besar bangsa Yahudi pada ketika itu bermula dengan gerakan politik menerusi penulisan Henry Finch, bertajuk The World’s Great Restoration, or the Calling of the Jews, bertunjangkan kepada idea “pulang ke tanah yang dijanjikan” yang dipelopori oleh para rabbi Yahudi seperti Shabbetai Tzvi, Zvi Hirsch Kalischer dan Judah Alkalai.

Tarikh yang tercatat sebagai sejarah hitam warga Palestin itu menyaksikan sebanyak 77% tanah Palestin jatuh ke tangan Zionis; 58% daripada 1.39 juta penduduk Palestin dibunuh dan 87% yang lain dihalau keluar dari kawasan yang terjajah manakala 478 buah kampung dimusnahkan.

Bangsa Yahudi yang berpindah masuk secara haram sejak 1914 inilah dianggap sebagai Yahudi-Zionis kerana mereka mendukung “tanah yang dijanjikan” untuk menghalalkan penindasan, pembunuhan, penjajahan dan pembasmian penduduk Palestin sehingga ke hari ini.

Ironinya, ketika anda membaca penulisan ini, pemimpin antarabangsa seperti AS, Jerman, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Mesir dan Perancis masih mendiamkan diri.

Paling agresif mereka boleh lakukan hanyalah pertemuan serta perbincangan di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan memberi amaran kepada Israel.

Adakah Israel tunduk kepada mereka? Tidak. Sebaliknya keadaan semakin parah apabila Zionis bertindak menyerang Lubnan dengan alasan ia adalah fasa baharu peperangan melawan kuasa yang menentang Israel.

Jika kita terlalu fokus dengan apa yang berlaku pada 7 Oktober 2023 berdasarkan kefahaman kita terhadap media Barat atau pro-Zionis sehingga mengabaikan peristiwa yang telah berlaku pada 1917 dan 1948, maka minda kita sudah dijajah Zionis.

Sudah-sudahlah bergantung kepada media yang melabel gerakan pejuang Palestin sebagai pengganas atau menoktahkan peperangan di Gaza sebagai “serangan balas dari pihak Israel”.

Mengimani naratif Zionis bermakna kita membenarkan perhambaan intelektual ke atas minda dan idea, mengakibatkan kesukaran untuk memurnikan naratif sebenar walaupun sejarah awal Palestin membuktikan rakyat Palestin telah pun ditindas sejak 1917 sehingga ke hari ini.

Jadi, di manakah pendirian kita? Adakah rakyat Israel adalah mangsa?

Semoga perkongsian ini dapat mematangkan pembacaan dan kefahaman kita terhadap isu kemanusiaan di Palestin. Ayuh rakyat Malaysia, teruskan bersatu tanpa mengira latar belakang budaya, agama dan politik.

Teruskan bersolidariti mempertahankan hak rakyat Palestin dan Lubnan. Tidak mustahil suara kecil kita di Malaysia mampu mengubah persepsi masyarakat yang sudah berpaling arah atau patah semangat.- MalaysiaGazette

Nur Sabrina Suhaimi

Nur Sabrina Suhaimi
Eksekutif Penyelidikan & Advokasi
Cinta Gaza Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast