Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan beberapa langkah lanjutan terhadap siasatan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di luar negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah menghubungi negara-negara luar yang didapati ada premis perniagaan oleh syarikat berkenaan.

“Polis sudah memulakan langkah dengan menghubungi negara-negara yang berkenaan dengan menggunapakai MLA Mutual Legal Agrement bagi memudahkan kerjasama itu dibuat,” katanya pada sesi Penerangan menteri mengenai Perkembangan dan Tindakan di Peringkat Kementerian Dalam Negeri berkaitan isu GISBH di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Saifuddin, pihaknya mengakui siasatan terhadap kes itu di luar negara bukanlah sesuatu tugas yang mudah namun ia akan tetap dilakukan bagi menjejaki dan mendapatkan semula aset dimiliki kumpulan itu.

“Siasatan ke luar negara bukan satu tugas mudah. Kalau pun kenyataan awal Ketua Polis Negara turut menyebut kegagalan syarikat ini membayar cukai pendapatan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau perbuatan tidak membayar gaji.

“Siasatan entiti di luar negara akan diperluas. Tidak membayar gaji satu tindakan serius (khususnya) di 19 negara ini. Jadi pihak polis sudah pun membuat langkah menghubungi negara-negara berkenaan dengan kita mengguna pakai ‘mutual legal agreement’ bagi mudahkan kerjasama dibuat,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, PDRM memperoleh maklumat berkaitan 23 harta milik GISBH di luar negara membabitkan 10 negara dengan anggaran nilai RM52.4 juta.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyelesaikan isu nasab anak-anak kumpulan itu mengikut setiap kes yang dikendalikan.

Jelasnya, JPN sedang menjalankan siasatan menerusi family tree bagi mengenal pasti ibu bapa kepada sejumlah kanak-kanak yang telah diselamatkan dari beberapa rumah amal GISBH.

“Kita akan mengesan susur jalur bagi mengelak masalah nasab ke depan nanti kerana kompleksnya apabila anak-anak ini ditinggalkan dalam keadaan tidak mengenali susur galur keluarga.

“Itu semua akan dilakukan secara telus oleh pakar-pakar psikologi kita, di PDRM, kita ada D11, selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ini melibatkan peranan besar, ribuan anggota polis dan pegawai kerajaan di peringkat kementerian dalam memperhalusi isu ini satu persatu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast