Keadaan tanah runtuh yang berlaku akibat hujan lebat pada awal pagi tadi ketika di Taman Melawati, Ampang. Foto MOHD ADZLAN, 15 OKTOBER 2024.

AMPANG JAYA – Kerja penilaian stuktur tanah di lokasi runtuhan di Jalan E6, Taman Melawati, di sini sedang giat dilakukan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) bagi mengenal pasti sama ada selamat atau sebaliknya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, sehingga jam 5 petang tadi, pihak JMG bersama Jabatan Cerun Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang melakukan kajian di kawasan terbabit.

“Pada masa ini, kita tidak dapat mengulas lanjut sama ada berlaku pergerakan tanah atau tidak kerana sedang menunggu laporan penuh daripada mereka berhubung tanah runtuh di sini.

“Bagaimanapun, hasil kajian yang dijalankan nanti akan merumuskan sama ada kawasan ini masih selamat ataupum tidak,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Anggota polis berada di kawasan tanah runtuh di Taman Melawati, Ampang. Foto MOHD ADZLAN, 15 OKTOBER 2024.

Tambah Mohd. Azam, pihaknya juga sudah mengenalpasti keluarga yang mendiami 16 daripada 20 unit rumah di Jalan E6 di sini.

“Mereka telah kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Taman Keramat sehinggalah kawasan kediaman mereka di sini, disahkan benar-benar selamat, manakala empat lagi unit kediaman didapati tidak berpenghuni” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, ketika ini pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sedang melakukan kerja-kerja pembersihan runtuhan yang menjadi jalan utama penduduk sekitar.

“Kerja-kerja pembersihan dijangka selesai petang ini bagi membolehkan urusan keluar masuk terhadap penduduk-penduduk yang terjejas membawa keluar barang-barang penting milik mereka.

“Selain itu, kita telah menempatkan pegawai dan anggota bagi mengawasi sekitar kawasan kediaman di Jalan E6 sepanjang proses pembersihan berlangsung,” ujarnya.

Kerja-kerja pembersihan dilakukan berikutan tanah runtuh yang berlaku akibat hujan lebat pada awal pagi tadi ketika di Taman Melawati, Ampang. Foto MOHD ADZLAN, 15 OKTOBER 2024.

Hujan lebat sejak awal pagi tadi mengakibatkan kejadian tanah runtuh setinggi 30 meter di Taman Melawati, Ulu Kelang, di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut sekitar pukul 11.42 pagi tadi.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku runtuhan tanah berketinggian 30 meter berkeluasan 20x 20 meter.

“Kejadian tidak melibatkan mangsa dan kediaman namun kira-kira 20 penduduk telah diarahkan keluar dari kediaman mereka,” katanya.

Antara agensi keselamatan yang terlibat dalam adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here