Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang meneliti tindakan perundangan ke atas media antarabangsa, Bloomberg berhubung dakwaannya campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau menyerahkan isu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana siasatan sudah dijalankan dan menyerahkan kepada Peguam Negara mengambil tindakan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Seperti kita sedia maklum, ini kali kedua Bloomberg buat tohmahan yang berbahaya, pertama yang melibatkan Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong dalam soal izin kasino baharu yang menjadi fitnah keterlaluan dan tidak pernah dibangkitkan Jemaah Menteri atau Yang di-Pertuan Agong.

“Yang kedua ini, laporan pada 26 September (lalu) tentang arahan kepada SPRM, setakat ini, tindakan perundangan sedang diteliti kerana pihak PDRM telah menerima laporan dan mengambil beberapa tindakan termasuk memanggil Bloomber dan individu-individu terkait pada 1 dan 8 Oktober yang lalu

“Kerana dalam siasatan PDRM, saya serahkan kepada PDRM menyiasat dan untuk Peguam Negara mengambil tindakan yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau bertanya sama ada kerajaan sedia mengambil tindakan perundangan terhadap Bloomberg berhubung dakwaan campur tangan Anwar dalam siasatan SPRM dalam memerangi salah guna kuasa dan rasuah.

Minggu lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, siasatan kes dakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) kanun sama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, SPRM juga telah mengeluarkan kenyataan tegas menafikan tohmahan tersebut kerana apa yang berlaku hanya arahan umum yang dilakukan termasuk di Parlimen.

“Saya mahu SPRM, LHDN, PDRM, badan-badan penguat kuasa bertindak tegas memerangi rasuah tanpa tolak ansur tetapi ini tidak melibatkan kes khusus SPRM dan Jabatan Peguam Negara harus bertindak bebas dan telus.

“Sekiranya ada kesalahan yang nyata, itu keputusan Peguam Negara untuk mendakwa,” katanya.

Bulan lalu, Bloomberg melaporkan Anwar telah mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki supaya tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador berhubung pembelian kontroversi saham dalam sebuah syarikat yang terlibat dalam pembangunan sistem imigresen baharu bernilai RM1 bilion.

Memetik sumber mengenai perkara itu, Bloomberg turut melaporkan Azam telah mengarahkan pegawainya bahawa siasatan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, tiga anak lelakinya dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin telah dilancarkan atas arahan Anwar.

Kedua-dua SPRM dan Pejabat Perdana Menteri telah menafikan dakwaan dalam laporan itu yang diterbitkan hari ini.

Pada Mac lalu, Farhash dilaporkan memiliki pegangan saham terbesar dalam sebuah syarikat yang disenarai pendek untuk projek membangunkan sistem imigresen baharu yang menelan belanja satu bilion ringgit.

Pemimpin PKR berusia 41 tahun itu membeli 15.91 peratus pegangan dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikatnya Rosetta Partners Sdn Bhd.

Menurut Farhash, Rosetta Partners merupakan anak syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd, yang dimilikinya bersama Sultan Kelantan, Muhammad V.

Pembelian dalam HeiTech Padu dilakukan sehari selepas MyEG Services Bhd memperoleh 14.4 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat itu dengan wang tunai RM31.25 juta pada 11 Mac.

Pada hari sama, HeiTech Padu mengumumkan telah menerima lanjutan kontrak selama setahun untuk menyelia Sistem Imigresen Malaysia (MyIMM) bernilai lebih RM13 juta.

HeiTech Padu ialah salah satu daripada tiga syarikat yang disenarai pendek oleh kerajaan untuk membangunkan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bernilai RM1 bilion bagi menggantikan MyIMM. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here