Pemeriksaan lock seal di island pump untuk memastikan tiada manipulasi meter dalam operasi di beberapa stesen minyak sekitar Kuala Selangor hari ini. - Gambar Ihsan KPDN Selangor.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor secara sinergi bersama Seksyen Konsumerisme & Kawalan Industri (SKKI), Bahagian Penguat Kuasa Putrajaya mengadakan pemeriksaan pematuhan ke atas stesen minyak sekitar Kuala Selangor hari ini.

Operasi itu bertujuan bagi memastikan sukatan penandaan minyak yang dibayar oleh pengguna adalah sama dengan kuantiti minyak yang dibekalkan oleh stesen melalui pump dispensers yang turut membabitkan penglibatan Syarikat Yang Dilantik (SDL) iaitu De Metrology Sdn. Bhd (DMSB) selaku pihak berwibawa dan kompeten membuat penilaian dan menjalankan perkhidmatan penentusahan alat timbang atau sukat.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya, Aris Mamat berkata, seramai pasukan pemeriksaan terdiri daripada seramai 20 anggota digerakkan bermula seawal pukul 9 pagi.

“Kami telah melakukan pemeriksaan di tiga premis stesen minyak terpilih dan pemeriksaan menyeluruh dilakukan ke atas stesen minyak tersebut untuk memastikan pematuhan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

“Perkara yang diberi penekanan di dalam pemeriksaan hari ini adalah tentang ketepatan pam minyak dan meter memastikan sukatan bahan bakar tepat serta meter tidak diubahsuai, pemeriksaan cap sah ditentusahkan memastikan pam minyak mempunyai cap sah ditentusahkan oleh syarikat yang dilantik (SDL).

“Turut diperiksa adalah pengujian volume iaitu menguji ketepatan isi padu bahan bakar yang dipam menggunakan standard kerja yang ditetapkan dan Rekod Penyelenggaraan Semakan ke atas rekod penyelenggaraan peralatan timbang dan sukat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan Pematuhan Akta Timbang dan Sukat ke atas stesen minyak terpilih di sekitar Kuala Selangor ole KPDN hari ini.

Tambah Aris, hasil pemeriksaan pasukannya mendapati stesen-stesen minyak terbabit mematuhi peraturan timbang dan sukat serta peraturan-peraturan perniagaan yang telah ditetapkan.

Menurutnya, pemeriksaan hari ini adalah isyarat kepada pengguna KPDN komited melindungi pengguna serta konsisten memastikan stesen minyak yang beroperasi mematuhi piawaian ditetapkan.

Justeru, katanya, stesen yang didapati melakukan penyelewengan atau ketidakpatuhan peraturan tidak terlepas berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan yang tegas seperti dikenakan kompaun atau penutupan pam ke atas stesen minyak.

Berdasarkan rekod statistik pencapaian tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Timbang Sukat (ATS) 1972 yang telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN dalam tempoh 2020 hingga September ini di seluruh negara adalah sebanyak 12,519 kes.

“Manakala untuk negeri Selangor sahaja sejumlah 283 kes direkodkan bagi tahun 2024 sehingga September lalu membabitkan nilai rampasan sejumlah RM2.6 juta.

“Hasil pencapaian statistik tindakan kes di bawah ATS 1972 ini adalah mencerminkan usaha konsisten secara proaktif yang dilakukan oleh KPDN bagi memastikan integriti timbangan dan sukatan dalam urusan jual beli dipatuhi oleh peniaga demi kepentingan pengguna,” ujarnya.

Aris turut menegaskan hasil daripada pemeriksaan di bawah penguatkuasaan ATS 1972 ke atas premis stesen minyak turut juga membawa kepada tindakan membanteras penyelewengan bahan api bersubsidi jenis diesel di bawah Ops Tiris.

Ops Tiris merupakan tindakan penguatkuasaan yang penting untuk membanteras penyelewengan diesel bersubsidi kerajaan.

“Untuk rekod sehingga September 2024, terdapat 600 kes penyelewengan diesel telah direkodkan di seluruh Malaysia di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dengan nilai rampasan diesel berkaitan penyelewengan ini adalah sekitar RM16.5 juta dari Januari hingga September tahun ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan diesel sepanjang 2020-2024 sebanyak RM52.68 juta.

“Pencapaian statisitk ini menunjukkan komitmen dan keseriusan tindakan penguatkuasaan dilakukan secara berterusan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN dalam membanteras penyelewengan minyak bersubsidi yang diselewengkan serta memastikan pematuhan di bawah Akta Timbang dan Sukat terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here