KUALA LUMPUR- Lebih RM4.6 juta bil air tertunggak di Kelantan direkodkan membabitkan kira-kira 7,270 pengguna bagi tempoh 2022 dan 2023.

Menerusi hantaran di Facebook, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berkata, tindakan undang-undang akan diambil kepada pengguna yang gagal menjelaskan tunggakan bil air yang telah dipotong.

Tambahya lagi, mereka diberi tempoh sehingga hari ini dan sekiranya masih tidak berbuat demikian, nama dan nombor akaun bil pengguna itu akan diserahkan kepada Peguam AKSB.

“Sebanyak 3,316 akaun direkodkan akan dipotong bagi 2022 dengan hutang RM2.379 juta masih belum dijelaskan dan 2023 pula sejumlah RM2.196 juta direkodkan dengan 3,954 akaun bil air masih lagi berhutang.

“Justeru, AKSB terus mempergiat usaha menuntut hutang sebanyak RM4.5 juta daripada pengguna yang masih gagal menjelaskan hutang bil air yang sudah dipotong itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

AKSB juga melantik empat ejen kutipan hutang berlesen bagi membuat tindakan susulan untuk mendapatkan semula jumlah hutang bil.

“AKSB akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi seperti laman sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB dan Facebook.

“Pengguna juga boleh menghubungi PINTAS di talian 15777 jika mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here