Liew Chin Tong (dua dari kiri) hadir melancarkan laporan , "Penilaian Pendedahan ESG Syarikat Tersenarai Malaysia dan Syor untuk Pembangunan Dasar"oleh SC-World Ban hari ini.

KUALA LUMPUR – Kebanyakan syarikat tersenarai Malaysia telah menunjukkan pendedahan korporat yang baik dan pendekatan keseluruhan yang kukuh untuk mengurus tadbir urus dan isu sosial.

Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat terbabit masih menyerlahkan jurang dalam penunjuk alam sekitar tertentu, terutamanya yang berkaitan dengan perubahan iklim dan biodiversiti.

Pendedahan ini diperoleh daripada laporan bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Dunia bertajuk ‘Penilaian Pendedahan ESG ke atas Syarikat Tersenarai Malaysia dan Cadangan Pembangunan Dasar’ yang dilancarkan pada Persidangan SC-Bank Dunia 2024 hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Laporan itu berdasarkan penilaian mendalam yang dijalankan antara Ogos dan Disember 2023 dengan meneliti amalan pendedahan ESG bagi sampel wakil 90 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, serta proses di kalangan beberapa pemilik aset terbesar Malaysia.

SC berkata, laporan ini menyediakan garis dasar mengenai amalan pelaporan ESG di Malaysia, menawarkan pandangan utama untuk syarikat dan pelabur bagi meningkatkan pelaporan kemampanan agar sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa dan untuk kekal berdaya saing.

Ia bertujuan untuk memberi analisis terhadap keadaan semasa berkaitan pendedahan ESG dalam kalangan syarikat tersenarai dan pelabur institusi, memandangkan kepentingan ESG dan pelaburan kemampanan yang semakin meningkat di peringkat global.

Selain itu, ia menyediakan refleksi dan cadangan untuk penggubal dasar dalam pasaran modal Malaysia untuk menggalakkan pelaporan ESG yang lebih baik, memastikan ia kekal relevan dan konsisten di peringkat global.

Berucap pada persidangan itu, Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Islam SC Sharifatul Hanizah Said Ali berkata, kepentingan mengukuhkan pendedahan ESG ketika permintaan global untuk pelaburan mampan semakin meningkat.

“Laporan bersama ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk memupuk pasaran modal yang lebih mampan. Amalan pendedahan ESG yang lebih baik dijangka mengukuhkan keyakinan pelabur dan memastikan pasaran kekal berdaya saing dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya.

Menurut laporan itu turut mendedahkan syarikat yang lebih besar mempunyai kadar pendedahan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang jauh lebih baik daripada syarikat lebih kecil dan pematuhan kawal selia merupakan pemacu utama pelaporan ESG korporat di Malaysia.

Selain itu, empat pemilik aset besar Malaysia, penilaian menunjukkan tahap pendedahan ESG yang agak rendah bagaimanapun temu bual mencadangkan usaha yang lebih besar untuk mengukuhkan amalan dan proses ESG.

Laporan itu diakhiri dengan satu set cadangan, termasuk pemantauan berterusan bersama-sama dengan perundingan, untuk memastikan pelaksanaan berkesan pendedahan ESG selaras dengan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (NSRF) yang dilancarkan baru-baru ini.

Cadangan laporan lain termasuk meneruskan sokongan pelaksanaan meluas garis panduan Bursa Malaysia untuk pelaporan kemampanan dan galakkan secara aktif pembangunan amalan ESG dalam kalangan pelabur domestik untuk meningkatkan daya tarikan bagi pendedahan ESG korporat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here