Anggota polis, bomba dan APM Melaka memindahkan mangsa terjejas ke tempat selamat. - Foto APM

MELAKA – Kerajaan negeri memberi kelonggaran kepada murid yang terjejas akibat banjir untuk hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa bermula hari ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi mangsa banjir dan sentiasa berusaha untuk meringankan beban mereka.

Menurutnya, sehubungan itu ibu bapa dinasihati supaya memastikan anak mereka tetap hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa dalam tempoh bencana ini.

“Bagi memastikan kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) berjalan lancar, murid-murid yang terjejas dalam bencana banjir dibenarkan memakai pakaian biasa yang sesuai ke sekolah.

“PdPc tidak terganggu kerana setakat ini semua mangsa ditempatkan di dewan sekolah,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, murid boleh meneruskan pembelajaran seperti biasa dan mereka yang terjejas dalam banjir boleh menumpang di sekolah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mengikut darjah atau tingkatan yang sama.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan sebanyak 13 kawasan di dua daerah negeri ini mula dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan sejak pagi semalam.

“Sehingga pukul 8 pagi tadi seramai 212 mangsa daripada 70 buah keluarga telah dipindahkan ke empat PPS di empat bangunan sekolah di Jasin.

“Empat PPS tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat, SK Tedong dan SMK Dato’ Abdul Rahman Ya’kob,” katanya.

Katanya, kesemua mangsa merupakan penduduk dari dua kawasan yang terjejas teruk iaitu di Kampung Kilang Berapi dan Lubok Buaya di Jasin.

Antara kawasan lain terjejas adalah Paya Redan, Bukit Nibong, Paya Dalam, Bukit Durian, Bukit Duyong, Jambatan Duyong, Duyong Tengah, Kampung Pantai Kundor, Gedong Lalang, Pernu, Bukit Meta dan Padang Temu di daerah Melaka Tengah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here