Logo OPEC

VIENNA – Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengurangkan lagi unjuran pertumbuhan permintaan minyak global tahun ini.

Ia merupakan bulan ketiga berturut-turut semakan penurunan dibuat OPEC.

Dalam laporan pasaran minyak bulanannya untuk Oktober, OPEC mengunjurkan pertumbuhan permintaan minyak global sebanyak 1.93 juta tong sehari (bpd) untuk 2024, turun 106,000 bpd daripada pertumbuhan 2.03 juta bpd yang dijangkakan bulan lepas.

Meskipun semakan penurunan ketiga itu, OPEC berkata, pertumbuhan permintaan minyak dunia tahun ini “masih jauh melebihi purata sejarah 1.4 juta bpd yang dilihat sebelum wabak Covid-19.”

Bagi tahun depan, kumpulan pengeluar minyak itu mengurangkan anggaran pertumbuhan permintaan minyak global 2025 kepada 1.64 juta tong sehari daripada penilaian bulan lepas sebanyak 1.74 juta tong sehari.

OPEC dua kali menurunkan unjuran pertumbuhan permintaan minyak global pada 2024 dan 2025 dalam laporan pasaran bulanannya yang diterbitkan pada Ogos dan September.

Sehingga Ogos, OPEC mengekalkan unjuran pertumbuhan permintaan minyak globalnya sebanyak 2.25 juta tong sehari tahun ini dan 1.85 juta tong sehari tahun depan sejak ia dibuat pada Julai tahun lepas.

Bulan lalu, lapan negara anggota OPEC+, sebuah kumpulan yang terdiri daripada OPEC dan sekutunya, mengumumkan lanjutan pemotongan pengeluaran minyak sukarela mereka selama dua bulan sehingga November. Negara-negara akan mula secara beransur-ansur menghentikan pemotongan keluaran ini mulai Disember. – Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here