Onn Abu Bakar (depan) mengetuai perarakan Maulidul Rasul 1446H bernula di Dataran Penggaram, Batu Pahat, hari ini

BATU PAHAT – Penyertaan Orang Diparol (ODP) dan Orang Bebas Berlesen (OBB) dalam program keagamaan bersama-sama masyarakat dapat menyuntik semangat baharu dalam diri mereka.

Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar yakin program pemantapan rohani seperti itu akan menjadikan komuniti parol tersebut insan lebih baik apabila tamat hukuman kelak.

“Pastikan setiap hari dalam hidup kita ada perubahan, bermula dengan diri kita sendiri. Hari ini mesti lebih baik dari semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Intervensi ODP dan OBB Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1446H di Kelab Batu Pahat di sini hari ini.

Kira-kira 150 dalam kalangan ODP dan OBB hadir di bawah pengawasan Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Batu Pahat.

Program itu dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Amal Ihsan Batu Pahat bersama-sama Parol Daerah Batu Pahat dan Jabatan Penjara Malaysia.

Turut diserikan dengan syarahan perdana, alunan Qasidah dan selawat Nabi daripada pelajar Madrasah Darul Barokah dan Madrasah At-Taubah Batu Pahat.

Selain itu Pertubuhan Infak Kasih Batu Pahat turut menyumbang makanan kepada ODP dan OBB.

Terdahulu program dimulakan dengan perarakan berselawat barisan ODP dan OBB sambil memegang sepanduk Maulidur Rasul di Dataran Penggaram di sini.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here