Zairil.

GEORGE TOWN – Exco Infrastruktur Pulau Pinang, Zairil Khir Johari menegaskan tiada unsur salah laku dalam peruntukan khas persekutuan sebanyak RM5.6 juta untuk menaik taraf jalan di kawasan Bagan.

Katanya, dana tersebut telah digunakan sepenuhnya untuk menaik taraf Jalan Persekutuan FT001, jalan utama di kawasan itu.

“Projek naik taraf tersebut bermula dari Jalan Chain Ferry hingga ke Jalan Bagan Ajam, dan seterusnya ke Jalan Teluk Air Tawar.

“Walaupun sebahagian daripada jalan tersebut berada di kawasan Tasek Gelugor ia tetap merupakan sebahagian daripada laluan yang sama.

“Daripada jumlah RM5.6 juta, RM4.2 juta telah digunakan bagi kawasan Bagan manakala baki RM1.4 juta di Tasek Gelugor. Walau bagaimanapun, keseluruhan peruntukan itu digunakan untuk jalan yang sama,” katanya hari ini.

Tambah Zairil, Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat keputusan untuk menaik taraf keseluruhan laluan itu supaya pengguna dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa tanpa gangguan.

Zairil turut menegaskan bahawa tiada niat jahat oleh pegawai JKR dalam menaik taraf jalan tersebut kerana matlamat utama adalah untuk memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya.

“Adalah tidak adil untuk menuduh pegawai JKR mempunyai niat buruk apabila mereka hanya menjalankan tugas mereka.

“Bagaimanapun, memandangkan Ahli Parlimen Bagan merasa ‘tertipu’ dengan perkara ini, kita telah dapatkan peruntukan tambahan RM1.4 juta untuk digunakan bagi kawasan Bagan dan ia telah pun diluluskan,” katanya.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa memulangkan RM1.4 juta daripada peruntukan RM5.6 juta untuk kerja-kerja jalan raya di kawasannya yang menurutnya telah dirampas ke kerusi Tasek Gelugor yang dikuasai pembangkang.

Guan Eng dilaporkan berkata, ia adalah kali kedua dana yang diberikan untuk Bagan disalurkan kepada Tasek Gelugor. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here