BATU PAHAT – Seramai 15 mangsa banjir sudah menganggap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunut, Ayer Hitam dekat sini seakan rumah kedua mereka.
Mangsa banjir dari Kampung Talang Bunut dan Kampung Olak Batu Mereka itu sudah ‘menetap’ di PPS berkenaan sejak 7 Oktober lalu.
Selepas sembilan hari berada di PPS berkenaan, mereka sudah rindu dan tidak sabar mahu pulang ke rumah masing-masing secepat mungkin.
Namun mereka resah memikirkan keadaan rumah yang kini dilanda fenomena ‘banjir termenung’ atau air bertakung di samping keadaan cuaca ketika ini yang semakin buruk.
Mohamad Ibrahim, 71, dari Kampung Talang Bunut berkata, rumah didiaminya dinaiki air secara mendadak sehingga kira-kira 0.3 meter apabila hujan bermula pada 6 Oktober lalu.
Dia bersama-sama isteri, Marilah Jarman, 64, serta empat anak dan tujuh cucunya tidak mempunyai pilihan lain apabila melihat tiada tanda-tanda air akan surut.
“Ini bukan kali pertama kami berpindah ke PPS akibat banjir. Masuk kali ini sudah dua kali tahun ini, pertama pada awal tahun dan kali ini.
“Rumah saya terletak hanya 50 meter dari Sungai Sembrong. Apabila hujan lebat, rumah saya pasti akan dinaiki air.
“Setiap kali banjir, kami sekeluarga akan tinggal di PPS ini sekurang-kurang seminggu sebelum dibenarkan pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di PPS SK Seri Bunut, hari ini.
Mohamad yang juga pekebun itu berkata, setakat ini, masih tiada arahan untuk pulang ke rumah berikutan kawasan masih berlaku banjir termenung.
Dia berkata, layanan diberikan sepanjang berada di PPS itu amat baik dan dijaga makan, minum serta kesihatan oleh petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi lain.
“Saya berharap dan berdoa agar keadaan banjir termenung cepat pulih.
“Pada masa sama, saya mahu kerja-kerja meninggikan tapak tanah di bahagian dapur yang sedang kami sekeluarga lalukan bagi mengelak air banjir masuk rumah dapat disiapkan segera,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Samsolbari Jamali berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan bantuan sewajarnya agar kediaman penduduk terlibat tidak dinaiki air.
Beliau ketika ditemui melawat mangsa di PPS berkenaan berkata, usaha akan dilakukan melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dalam masa terdekat ini.
Mengenai satu lagi keluarga di PPS terbabit, Faridah Jaslan, 65, yang tinggal bersama-sama seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU) di Kampung Parit Nipah Laut berkata, mereka akan mendapat bantuan baiki rumah daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).- MalaysiaGazette