Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta agensi-agensi di bawahnya sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi mendapatkan input, syor dan pandangan terbaik ke arah memartabatkan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia.

Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Muhamad Razak Idris berkata, ⁠dalam konteks Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 yang akan dibentangkan di Parlimen, ia telah melalui suatu proses libat urus yang komprehensif bagi memastikan RUU ini teratur dan selaras dengan Perlembagaan dan undang-undang sedia ada.

Dr Muhamad Razak Idris

Beliau merujuk hantaran media sosial seorang tokoh agama yang mengajak Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar untuk berdialog terbuka berkaitan RUU Mufti 2024.

Jelas beliau, Pejabat Menteri sedang giat melaksanakan sesi penerangan berkaitan isu-isu berbangkit terhadap RUU Mufti ini bagi menjelaskan kekeliruan dan salah faham yang timbul.

“Oleh itu, saya mengajak orang ramai supaya merujuk dan menggunakan saluran rasmi sekiranya memerlukan penjelasan lanjut berkaitan perkara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau dipercayai bagi menjawab cadangan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mahu media rasmi kerajaan memberi ruang  kepadanya untuk berdialog bersama Mohd Na’im secara terbuka bagi membincangkan isu mengenai RUU berkenaan.

Dalam kenyataannya, Mohd Asri berkata, Mohd Na’im sepatutnya membawa agenda keluasan dan kesederhanaan selaras engan idea kerajaan Madani.

Beliau menyifatkan menteri berkenaan sedang membawa negara ke kancah kafir-mengkafir dan sesat-menyesatkan.

Dalam pada itu Muhamad Razak menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan sikap suka mencetuskan provokasi dalam masyarakat dengan membincangkan isu-isu berkaitan pemikiran keagamaan yang rumit dan memerlukan kepakaran yang khusus secara terbuka.

“⁠​Sehubungan itu, saya menyeru orang ramai menggunakan media sosial secara berhemah dan beretika serta menjaga tutur kata agar tidak mengguris perasaan mana-mana pihak demi memelihara kewibawaan dan kehormatan terhadap institusi pentadbiran hal ehwal agama di negara kita, seterusnya menjamin kesejahteraan beragama di kalangan umat Islam,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

RUU Wilayah Persekutuan: Mufti Perlis ajak Menteri Agama berdialog

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here