Sidang Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan selama 30 minit susulan beberapa laluan dinaiki air berikutan hujan lebat sejak awal pagi ini.

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan selama 30 minit susulan beberapa laluan dinaiki air berikutan hujan lebat sejak awal pagi ini.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, persidangan sesi pagi akan bermula semula pukul 10.30 pagi selepas ramai Ahli Parlimen terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang teruk.

Sidang Dewan Rakyat hari ini sepatutnya bermula pukul 10 pagi seperti kebiasaan.

“Di luar sana hujan terlalu lebat dan beberapa jalan dinaiki banjir, ramai di antara Yang Berhormat terperangkap dalam banjir.

“Oleh demikian saya ingin menggunakan Peraturan Mesyuarat 12 (2) untuk menangguhkan mesyuarat hingga jam 10.30 pagi,” kata Johari.

Sementara itu, kesesakan teruk berlaku di beberapa laluan utama di ibu negara pagi ini.

Beberapa laluan juga dilaporkan mula dinaiki air, menyebabkan banyak kenderaan terperangkap.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir di semua negeri di Pantai Barat Semenanjung dari Perlis hingga Johor. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here