JOHOR BAHRU – Seorang pengurus syarikat di China diperdaya RM2.6 juta dalam urus niaga import durian Musang King sejuk beku dari Malaysia ke China baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, mangsa ditipu seorang lelaki yang juga dari China dan urusan import itu bermula di negara tersebut.
“Mangsa menyatakan suspek memperdayakan syarikat milik mangsa dengan meyakinkan bahawa boleh menggunakan Permit Import (AP) milik syarikat eksport buah-buahan beralamat di Malaysia.
“AP syarikat terbabit hendak digunakan bagi mengimport Musang King sejuk beku dari negara ini ke China. Pihak syarikat telah berjumpa dengan suspek di China.
“Syarikat berkenaan bersetuju membeli sebanyak 3,840 karton durian Musang King sejuk beku bernilai RMB4.3juta atau bersamaan RM2.6 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, transaksi pemindahan wang dilakukan ke dalam satu akaun bank milik syarikat lain berdaftar di Malaysia seperti diarahkan oleh suspek pada 5 Julai lalu.
Mangsa, katanya, dijanjikan akan menerima durian Musang King sejuk beku dalam tempoh sebulan selepas pembayaran dilakukan.
Bagaimanapun sehingga kini syarikat mangsa masih belum menerima produk yang dijanjikan itu.
Menurutnya, mangsa cuba menghubungi suspek tetapi gagal dan meminta rakannya di Malaysia mencari syarikat pemilik AP terbabit.
“Namun syarikat pemilik APM tersebut disahkan tidak pernah berurusniaga dengan syarikat mangsa. Mangsa kemudiannya datang ke Malaysia untuk membuat laporan polis memandangkan akaun bank yang digunakan suspek adalah milik syarikat berdaftar di negara ini,” ujarnya.
Kumar memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 420/411 Kanun.
Beliau meminta oang ramai diminta berhati-hati apabila berurus niaga dengan orang tidak dikenali.
“Semak latar belakang individu dan syarikat dengan agensi atau pihak berkuasa seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebelum lakukan transaksi pembayaran bagi kurangkan risiko menjadi mangsa penipuan,” katanya.- MalaysiaGazette