JOHOR BAHRU – Warga emas maut dalam keadaan mengerikan apabila kaki kirinya terputus selepas motosikal ditunggangnya kemalangan di Kilometer 12.4 Jalan Permas-Pasir Gudang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan pada pukul 7.55 pagi itu tidak membabitkan kenderaan lain.
“Hasil siasatan mendapati warga emas tersebut yang berusia 73 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha Ego S telah hilang kawalan.
“Motosikal tersebut terbabas sebelum melanggar penghadang sebelah kiri bahu jalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, akibat kemalangan itu lelaki tersebut mengalami cedera parah dengan putus kaki kiri dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis katanya, memohon orang awam yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk memberi keterangan.
Tambahnya, mereka juga boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek menerusi talian 014-6977122.- MalaysiaGazette