Pegawai Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR). - Gambar Hiasan

KUALA TERENGGANU ā€“ Seramai 39 Pegawai Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) kumpulan kedua dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Muda (YIO) dalam Majlis Tamat Latihan dan Pentauliahan Pegawai Integriti Muda Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah, Kohort 2/2024 pada Sabtu ini.

Majlis pentauliahan yang dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, Kuala Terengganu, Terengganu.

Penganjuran majlis ini bertujuan menghargai usaha dan komitmen mahasiswa dalam memerangi rasuah, serta menyebarluaskan mesej penting pencegahan rasuah kepada masyarakat umum.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2022, penglibatan pelajar dalam Kor SUAR telah meningkat daripada 24 pegawai kadet kepada 39 pegawai kadet tahun ini yang terdiri daripada 12 kadet lelaki dan 27 kadet wanita dan pastinya ini satu pencapaian yang amat membanggakan.

Kor SUAR merupakan satu-satunya badan beruniform universiti yang ditauliahkan dengan sijil YIO

Selain memartabatkan integriti dalam kalangan generasi muda, Kor SUAR juga berperanan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya rasuah melalui pelbagai inisiatif dan aktiviti sukarela.

Para kadet yang telah melalui kursus selama empat semester ini telah didedahkan kepada pelbagai topik berkaitan nilai jati diri, integriti, dan pencegahan rasuah.

Pada masa yang sama, penawaran kursus ini turut melengkapkan inisiatif pencegahan rasuah di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menggerakkan aktiviti pendidikan antirasuah di dalam kampus untuk menyebarluaskan mesej anti rasuah di negara ini.

Selain itu, mahasiswa yang berjaya menamatkan sesi hingga ke semester keempat akan ditauliahkan sebagai YIO dan ia adalah nilai tambah kepada mereka apabila keluar untuk bersaing dalam mendapatkan pekerjaan nanti.

Dalam pada itu, Azam juga akan meluncurkan logo dan bendera rasmi Kor SUAR yang akan digunakan dalam perhimpunan badan beruniform di peringkat universiti.

Untuk memeriahkan lagi acara, majlis makan malam juga akan diadakan bagi meraikan kejayaan kesemua pegawai kadet yang ditauliahkan.

Dengan pentauliahan ini, diharapkan pegawai kadet Kor SUAR terus memainkan peranan penting dalam menyokong agenda nasional ke arah membentuk masyarakat yang bebas rasuah dan berintegriti tinggi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here