SHAH ALAM – Tidak ramai yang mengetahui tentang ekosistem mikro yang turut wujud dan memainkan peranan dalam biodiversiti.

Demi menyebarkan kesedaran dalam kalangan komuniti, pelajar Universiti Selangor (UNISEL) kursus MPU3472 Green Awareness & Sustainability (Kumpulan 4) telah menjayakan program Ekosistem Mini, Berimpak Maksimum: Belajar Kenali Alam Melalui Terrarium dan Entomologi baru-baru ini.

Menurut Pengarah program Nur Syazwani Othman, ia bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar, kepentingan tumbuhan dan serangga yang turut berperanan dalam ekosistem.

“Ia juga memberi kemahiran juga pengalaman baru kepada peserta mengenal seni hiasan terrarium yang secara tidak langsung memupuk kesedaran hijau melalui inovasi produk dan hasil kreativiti,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Terdahulu, program yang diadakan di Taman Botani Negara, Shah Alam itu digerakkan oleh sembilan orang pelajar.

Seramai 24 peserta dalam kalangan masyarakat dan komuniti setempat pelbagai umur dan latar belakang hadir program berkenaan.

Syazwani berkata, ketika program berlangsung, peserta ditawarkan pengalaman pembelajaran berbeza yang menggabungkan aktiviti penerangan, peranan habitat serta ciri-ciri unik flora dan fauna termasuk lawatan spesis halia di Laman Zingiberales dan Heliconia.

“Di samping itu, peserta juga berpeluang mempelajari cara penjagaan dan pemeliharaan tumbuhan tempatan ini dengan betul. Selain itu, pembelajaran interaktif mengenai serangga dan mengaplikasikannya melalui penciptaan terrarium sebagal dekorasi dan symbol pemuliharaan alam sekitar,” tambahnya.

Sebagai rekod, entomologi merupakan cabang sains yang mengkaji mengenai serangga manakala terrarium merupakan seni hiasan tanaman dalam balang kaca. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here