Belanjawan 2025 | Kerajaan diharap tidak lupakan warga emas

KUANTAN – Menjelang pembentangan Belanjawan 2025 dua hari lagi, golongan warga emas berharap agar bantuan yang diperuntukkan kerajaan diberikan sama adil kepada penerima.

Peniaga, Zainal Abdullah, 62, meluahkan rasa mereka seperti dipinggir kerajaan, lebih-lebih lagi apabila pendapatan dijananya setiap bulan tidak mencukup untuk menampung kehidupan seharian.

Zainal Abdullah

“Kalau dapat, belanjawan kali ni dapatlah tolong-tolong orang berniaga dalam pasar malam ke, kaki lima ke. Beri kemudahan kepada mereka.

“Sebab menjana pendapatan negara dan negeri pun banyak daripada orang yang meniaga tetapi peniaga kecil-kecilan  berpendapatan rendah sangat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini hari ini.

Pendapat sama dikongsi Tamlok Mat Zin, 67 yang juga mengharapkan agar bantuan yang diperuntuk kerajaan kepada golongan warga emas dapat dikaji semula.

Menurutnya, kos perbelanjaan hidup semasa semakin meningkat dan nilai bantuan sebanyak RM200 tidak lagi mencukupi buat menampung hidupnya yang turut menyara anak dan cucu.

Tamlok Mat Zin

“Dapat (bantuan) RM200 sebulan. Mana cukup RM200 sebulan? Beli ikan pun RM10 sehari. Tak cukup pun RM200 sebulan. Dalam RM600 hingga RM700, baru cukup untuk hidup sebulan,” luahnya.

Selain itu, dia juga mengharapkan kerajaan segera mengatasi masalah kenaikan harga barang yang semakin terasa terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin sepertinya.

Berbeza pula dengan luahan Mohd Radzuan Chamkari, 61, yang lebih mementingkan kualiti daripada kuantiti bantuan yang diberikan kerajaan, khususnya barang keperluan seperti beras.

Meskipun hampa dengan pengisian belanjawan kerajaan sejak beberapa tahun lepas, dia berharap kerajaan hari ini lebih peka dengan mekanisme pemberian bantuan yang diberikan.

Mohd Radzuan Chamkari

“Dia bukan masalah harga barang. Orang kata, benda tu biar ada kualiti. Kalau beras dengan kualiti tapi harga RM100 pun takpa.

“Semua harapan tak tercapai belaka. Maknanya, macam kita dalam kehidupan seharian kita lah. Kos sara hidup ak berubah tapi barang makin naik,” kata Mohd Radzuan.

Bagi Mohd Mohd Radzi Ngah Idris, 77, pula, dia bersyukur dengan usaha kerajaan menjaga kebajikan warga emas dalam Belanjawan negara sebelum ini.

Namun seperti yang lain, dia juga mengharapkan agar kerajaan dapat menambahbaik keadaan ekonomi negara.

Mohd Mohd Radzi Ngah Idris

“Harapan saya agar bertambah baiklah daripada yang sudah-sudah daripada segi untuk menampung kos hidup rakyat.

“Saya harap warga emas punya bantuan elok diteruskan atau kalau dapat, dinaikkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast