Tertuduh, Devi Wulandari, 31, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan mencuri wang tunai milik majikannya berjumlah kira-kira RM20,000 Mei lalu.

MELAKA – Seorang pembantu rumah warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mencuri wang tunai milik majikannya berjumlah kira-kira RM20,000 Mei lalu.

Tertuduh, Devi Wulandari, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan wanita itu sebagai pembantu rumah telah didapati mencuri harta dalam milikan majikannya iaitu wang tunai dianggarkan berjumlah RM20,000, kad pengenalan bernama Loh Chin Yee, 42 dan kad orang kurang upaya individu sama.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Jalan Rusa 1, Taman Sin Hoe, Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 12.15 tengah hari 16 Mei lalu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun dan juga boleh didenda mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai pemegang pasport Indonesia telah tinggal di negara ini melebihi daripada tempoh pas khas yang dibenarkan iaitu selama 11 bulan dua minggu dan empat hari tanpa sebab yang munasabah.

Kesalahan itu dilakukan di pekarangan Balai Polis Malim dalam daerah Melaka Tengah di sini pada kira-kira pukul 5.31 petang 8 Oktober lalu.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula 3 Disember ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast