KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan Pasukan Petugas Khas selaras dengan subseksyen 17(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] bagi menyiasat isu salah laku berhubung dengan sindiket visa perubatan yang dikeluarkan kepada warga asing daripada beberapa buah negara.

Pasukan Petugas Khas ini akan diketuai oleh Datuk Seri Dr. Razali Ab Malik yang merupakan salah seorang Pesuruhjaya EAIC.

Menurutnya, siasatan awal yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Suruhanjaya semalam, memutuskan untuk siasatan menyeluruh dijalankan terhadap aktiviti-aktiviti yang mencurigakan berkaitan sindiket tersebut berdasarkan dokumen-dokumen yang telah disita.

Katanya, tindakan ini diambil bagi memastikan perkhidmatan kemudahan visa perubatan kepada warga asing diluluskan dengan penuh integriti dan melindungi keselamatan negara.

EAIC menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan siasatan di atas untuk menghubungi Pegawai Siasatan EAIC di talian 019-2325569. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here