KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi terhadap apa jua bentuk penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pegawainya.
Itu tegas Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban susulan kenyataan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai insiden terdapat unsur kekerasan dan penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan oleh beberapa pegawai JIM bermula tahun 2020 hingga 2021.
Ia melibatkan tahanan etnik Rohingya dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB).
Bagaimanapun, kata Zakaria, pihaknya sedang menunggu laporan penuh daripada EAIC berkaitan hasil siasatan bagi JIM mengambil tindakan lanjut.
“Sekiranya didapati terdapat unsur-unsur kekerasan dan penderaan, JIM akan mengambil tindakan keras terhadap pegawai-pegawai tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” ujarnya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette