Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto Arkib MalaysiaGazette

Oleh: Fahmiza Mohamad Stephen

DALAM ketenteraan moden, kecerdasan buatan (AI) telah menjadi ‘senjata’ terkini yang meningkatkan keupayaan sistem pertahanan sesebuah negara. Walaupun teknologi ini membawa banyak kelebihan, ia juga menimbulkan persoalan tentang tanggungjawab dan etika, terutamanya dalam mencapai keseimbangan di arena politik antarabangsa. AI, yang kini memainkan peranan penting dalam ketenteraan, telah merevolusikan cara konflik dihadapi dan pendekatan untuk menanganinya.

Dalam konteks ini, kebimbangan etika bukan hanya melibatkan isu privasi atau ketidakadilan ekonomi, tetapi juga berkait dengan soal kedaulatan dan keselamatan—baik keselamatan tradisional mahupun bukan tradisional. Ketika AI menjadi topik hangat dalam perbincangan keselamatan antarabangsa, satu perkara penting yang perlu difikirkan ialah keseimbangan kuasa dan etika penggunaan ‘persenjataan AI’ dalam struktur politik global. Persoalannya, bagaimana kita dapat memastikan AI digunakan secara bertanggungjawab dalam ketenteraan? Adakah negara-negara yang kurang berkemampuan dari segi teknologi akan terus tertinggal dalam ‘perlumbaan senjata’ AI?

Masalah kritikal ini, jika diperhatikan perkembangannya, sebenarnya telah diketengahkan oleh Malaysia di peringkat global melalui Persidangan Responsible Artificial Intelligence in the Military Domain (REAIM) 2024, yang diadakan di Korea Selatan pada 9-10 September. Dalam sesi “ministerial roundtable”, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, membangkitkan dua kerangka kritikal yang jelas dalam menyuarakan pandangan Malaysia. Pertama, cabaran mengenai kesediaan dan jurang keupayaan AI, dan kedua, keperluan mendesak untuk mewujudkan rangka kerja global yang lebih adil dan inklusif dalam pembangunan AI.

Jika dihayati, dua kerangka ini menunjukkan kebimbangan terhadap jurang keupayaan AI yang berasas, terutamanya apabila kita mengambil kira perbezaan besar dalam bajet ketenteraan antara negara maju dan negara membangun. Jurang ini boleh menimbulkan masalah kritikal, seperti ketidakbertanggungjawaban dan isu etika dalam pembangunan teknologi ketenteraan berasaskan AI. Isu etika ini muncul dalam pelbagai bentuk, terutamanya berkaitan monopoli dan eksploitasi.

Sedar atau tidak, era persaingan untuk menguasai ‘ketenteraan AI’ telah pun bermula beberapa tahun kebelakangan ini. Kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, dan Rusia sedang melabur secara besar-besaran dalam teknologi ketenteraan AI, yang kebanyakannya tertumpu kepada pertahanan siber, sistem pengawasan autonomi, tentera robotik, dan teknologi komunikasi. Untuk merealisasikan agenda ini, persaingan antara kuasa besar tersebut telah menyebabkan peningkatan signifikan dalam bajet ketenteraan, khususnya bagi tahun 2024.

Rusia, misalnya, telah meningkatkan perbelanjaan ketenteraannya sebanyak 29% kepada $140 bilion (12.8 trilion ruble), yang merangkumi 7.1% daripada KDNK dan 35% daripada perbelanjaan kerajaan. China, sebagai negara kedua terbesar dalam perbelanjaan ketenteraan global, mengumumkan kenaikan 7.2% dalam bajetnya kepada $222 bilion. Sementara itu, Amerika Syarikat, yang merupakan negara dengan perbelanjaan ketenteraan terbesar, memperuntukkan $842 bilion bagi tahun 2024, meningkat 5% berbanding tahun sebelumnya.

Bagi peruntukan khusus untuk AI, menurut laporan dari badan pemikir yang berpusat di Washington D.C., Brookings Institution, perbelanjaan kerajaan Amerika Syarikat untuk kecerdasan buatan (AI) meningkat secara mendadak—hampir 1,200%— daripada $355 juta dalam tempoh sehingga Ogos 2022 kepada $4.6 bilion dalam tempoh sehingga Ogos 2023. Jika dibandingkan dengan peruntukan negara seperti Malaysia, jurang perbelanjaan ini amat ketara dan menunjukkan perbezaan yang begitu besar.

Sebagai perbandingan, peruntukan untuk projek AI di Amerika Syarikat sahaja sudah hampir menyamai jumlah keseluruhan bajet pertahanan negara membangun seperti Malaysia pada 2024, iaitu sekitar RM19.7 bilion (kira-kira $4.7 bilion). Angka ini bukan sahaja jauh lebih kecil berbanding peruntukan kuasa besar seperti A.S., China, dan Rusia, tetapi juga sebahagian besar daripada bajet tersebut perlu dibahagikan kepada pelbagai aspek lain seperti penyelenggaraan dan operasi ketenteraan tradisional.

Justeru, jurang ini merupakan isu kritikal kerana pembangunan teknologi AI pada akhirnya hanya menguntungkan kuasa besar. Keadaan ini menyebabkan negara-negara membangun terpaksa bergantung kepada ‘ihsan’ pemindahan teknologi daripada kuasa besar, yang mungkin dijual pada harga yang menekan. Apabila ini berlaku, ia membuka ruang bagi kuasa besar untuk memonopoli negara-negara ‘kecil’, yang bukan sahaja menjadi sasaran mudah, tetapi juga berisiko digunakan sebagai ‘mainan’ tawar-menawar demi mengukuhkan geopolitik mereka.

Rangka kerja seimbang elak monopoli dan eksploitasi

Sesuai dengan saranan Menteri Pertahanan, keadaan ini menuntut keperluan untuk membangunkan rangka kerja antarabangsa yang neutral, objektif, dan telus. Piawaian antarabangsa dalam etika ketenteraan AI mesti dirangka dengan mengambil kira mekanisme yang mampu membantu negara-negara yang ketinggalan agar mereka dapat turut serta dalam perkembangan teknologi ini. Rangka kerja ini tidak seharusnya hanya memihak kepada negara maju yang sudah menguasai teknologi AI, tetapi juga perlu mempertimbangkan suara negara-negara membangun yang tidak mempunyai akses kepada teknologi yang sama.

‘Tragedi’ dalam sektor ketenteraan tradisional yang menyebabkan ketidakimbangan kuasa dalam geopolitik antarabangsa perlu dijadikan pengajaran agar ‘penyakit veto’ kuasa besar ini tidak menular ke dalam ketenteraan AI. Ini termasuk usaha mengelakkan bias politik yang mungkin mempengaruhi definisi penggunaan AI secara bertanggungjawab dan beretika. Dengan mengambil kira teori realisme—teori hubungan antarabangsa yang menekankan keinginan negara untuk melakukan apa sahaja demi mengekalkan dan mengukuhkan kuasa di peringkat global—teori ini menjadi asas penting dalam memahami tindakan kuasa besar dalam menangani etika ketenteraan AI. Justeru, garis panduan untuk piawaian antarabangsa dalam isu ini perlu segera diwujudkan.

Apa yang boleh disimpulkan di sini ialah kehadiran Menhan di Persidangan REAIM 2024 dengan mengetengahkan isu kritikal seperti ini merupakan satu langkah yang signifikan dan berimpak besar. Secara keseluruhannya, ia menyampaikan mesej yang jelas bahawa manfaat teknologi ketenteraan AI perlu dikongsi bersama demi pemeliharaan nyawa dan maruah manusia. Tindakan ini bukan sahaja untuk kepentingan Malaysia, tetapi juga melibatkan nasib negara-negara Global Selatan yang lain. Kita tidak boleh membiarkan “pisang berbuah dua kali” dengan membenarkan monopoli teknologi berulang seperti dalam sejarah ketenteraan tradisional.

 

Penulis, sedang melanjutkan pengajian Doktor Falsafah di Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here