Mohamed Azmin tiba ke Mahkamah Tinggi KL dengan iringan sekumpulan penyokong dan pimpinan PN pagi ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 15 November depan bagi keputusan saman fitnah oleh syarikat pengimport telur, J&E Advance Tech Sdn Bhd (J&E) terhadap bekas Menteri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tarikh itu ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Leong Wai Hong ketika pendengaran prosiding itu hari ini.

Terdahulu, kata Wai Hong, beliau sudah boleh memberikan keputusannya hari ini namun kedua-dua pihak telah memohon masa untuk menambah beberapa maklumat relevan kes itu kepada mahkamah dalam masa terdekat.

“Mahkamah tetapkan 15 November depan, apa-apa maklumat sebelum tarikh tersebut,” katanya hari ini.

Ketika ini, J&E memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin berhubung kenyataannya yang mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak melalui rundingan terus dengan kerajaan untuk mengimport telur dari India sebagai langkah sementara untuk mengatasi kekurangan dalam negeri.

Dalam tuntutan syarikat itu, mereka mempersoalkan ucapan Mohamed Azmin di Kuala Lumpur pada 11 Mac tahun lalu yang mana  sebahagian daripada ucapan itu mendakwa Deepak telah memperoleh kontrak untuk mengimport telur ayam melalui rundingan terus.

Kerajaan telah meluluskan pengimportan telur ayam dari India sehingga Jun ini dalam usaha menangani masalah kekurangan bekalan di pasaran tempatan.

Dua hari selepas kenyataan Mohamed Azmin itu, J&E Advance Tech menafikan syarikatnya memperoleh kontrak melalui rundingan terus dan menuntut pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membuat kenyataan pembetulan dalam tempoh 72 jam.

Dalam surat tuntutan, peguam syarikat itu berkata, dakwaan Mohamed Azmin dalam ucapannya tidak benar dan berniat jahat dengan memutarbelitkan fakta, memberi gambaran bahawa kerajaan korup dan tidak amanah serta anak guamnya tidak berprinsip dan menipu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here