Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berharap agar kerajaan dapat memperuntukkan dana bagi Program Bantuan Guaman Syarie (Bagus-PGSM) dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini.

Presidennya, Tuan Musa Awang berkata, bantuan ini penting untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan guaman syarie terutamanya untuk golongan ibu tunggal dan mereka yang kurang berkemampuan di Malaysia.

“Kami telah menerima lebih 1,498 permohonan bantuan guaman syarie di seluruh negara dari Oktober 2022 hingga Disember 2023 dan 549 daripadanya telah diluluskan dan sedang diuruskan.

“Walau bagaimanapun, kesemua 400 permohonan yang diterima sehingga Ogos lepas terpaksa ditangguhkan kerana tiada peruntukkan disediakan sejak tahun 2023 lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Musa berkata, ibu tunggal merupakan golongan yang paling memerlukan bantuan ini kerana mereka sering berhadapan kesukaran untuk menuntut hak diri dan anak kerana keterbatasan masa dan kewangan.

“Tanpa bantuan peguam syarie, banyak tuntutan yang melibatkan nafkah anak, mutaah, dan hak penjagaan anak tertangguh dan tidak dapat diselesaikan,” tambahnya.

Oleh itu, beliau berharap kerajaan dapat memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1.5 juta setahun dalam Belanjawan 2025 untuk meneruskan program ini. 

Dana ini dijangka dapat membantu lebih 400 kes setiap tahun dan memberi peluang kepada golongan yang memerlukan untuk membela hak syariah mereka tanpa bebanan kos guaman yang tinggi.

“Kami menyeru kerajaan untuk terus menyokong usaha murni ini demi memastikan keadilan syariah untuk golongan yang memerlukan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here