KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 bakal mewajibkan penyedia platform media sosial mematuhi tiga tanggungjawab utama, kata Teo Nie Ching.
Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata, ia melibatkan jaminan keselamatan platform, melindungi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun dan menyekat akses kepada kandungan berbahaya.
Beliau berkata, platform itu juga perlu menghantar Pelan Keselamatan Digital tahunan yang merangkumi strategi keselamatan dan pencapaian mereka.
“Semalam, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) telah mengadakan taklimat mengenai Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024.
“Kerangka RUU ini dibentangkan bertujuan untuk mengawal selia aktiviti dalam talian, terutamanya di platform seperti Meta, X, dan TikTok.
“Matlamat utama adalah untuk mengurangkan jenayah siber seperti penipuan dalam talian agar dapat melindungi pengguna,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya di sini hari ini.
Nie Ching menambah, Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memberikan sokongan utuh bagi menjayakan sesi ini.
“Suatu hal yang membimbangkan semua pihak kini adalah apabila terdapat beberapa jenayah fizikal telah berpindah di platform online antaranya scam, jenayah seksual terhadap kanak-kanak, serta perjudian online.
“Beberapa ahli parlimen memberi maklum balas yang bernas, dan pandangan mereka akan diambil kira.
“Langkah demi langkah, Kementerian Komunikasi sedang membina persekitaran online yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette