Wednesday, October 16, 2024
Home Politik Saham MAHB: PN miliki jalan penyelesaian terbaik

Saham MAHB: PN miliki jalan penyelesaian terbaik

Ibu pejabat korporat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang terletak di Sepang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 25 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yakin Perikatan Nasional (PN) mempunyai jalan penyelesaian terbaik berhubung isu penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Menurut beliau, ini kerana hasil analisis yang dibuat PN dapat membantu meningkatkan pelaburan MAHB dan pendapatan negara melalui lapangan-lapangan terbang sedia ada.

“Saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen bersedia untuk bagi hujah balas dalam Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) atau pun dalam Jawatankuasa Khas Parlimen berkenaan hal ini.

“Kita sudah buat analisis teknikal tentang penjualan saham ini, kita boleh beri counter proposal, counter argument kepada apa yang kerajaan Malaysia sedang buat, apa yang Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) sedang tawarkan, apa yang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang izinkan, apa yang perdana menteri biarkan sebenarnya merugikan orang Melayu dan rakyat Malaysia.

“Soalnya sekarang, apakah kerajaan berminat untuk mendengar pembangkang membawa kritikan konstruktif kepada mereka?” soalnya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayshal berkata, tindakan beliau yang digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat sesi ini menunjukkan kerajaan tidak berminat untuk mendengar idea pemimpin pembangkang.
“Kalau saya diberikan ruang untuk berbahas dalam Parlimen pada Belanjawan nanti, saya akan bentangkan di Parlimen.

“Tetapi saya disenyapkan, kerana apa? Kerana saya tahu perkara ini, sebab itu tidak dibenarkan bercakap dalam Dewan Rakyat dan saya serahkan segala butiran kepada rakan Ahli Parlimen lain untuk mereka berbahas minggu depan dalam Belanjawan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tak payahlah nak tunjuk pandai. Terminal bas tempat kau pun kau tak mampu nak selesaikan . Kau ni cakapacam tin kosong
    Bising lebih

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here