KUALA LUMPUR – Juara Terbuka Artik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terpaksa pulang awal apabila tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Denmark hari ini.
Sze Fei-Izzuddin yang diletakkan pilihan ketujuh kejohanan berstatus Super 750 BWF (Persekutuan Badminton Dunia) tewas mengejut pasangan Thailand, Kedren Kittinupong-Puavaranukroh Dechapol dalam aksi straight set 13-21, 13-21.
Pada aksi yang berlangsung di Jyske Bank Arena, Odense itu, Kittinupong-Dechapol yang tidak diletakkan sebagai pilihan hanya memerlukan 32 minit untuk mencatat kemenangan di sebalik aksi Sze Fei-Izzuddin yang kelihatan seperti keletihan.
Menentang pasangan India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand, permainan tiga set diperlukan pasangan ranking tujuh dunia itu dalam perlawanan yang berlarutan sepanjang 14 minit.
Selepas tewas set pertama yang berlangsung sengit 19-21, Pearly Tan-M Thinaah tampak berjaya memperbaiki permainan mereka dan menang 21-17 pada set kedua.
Juara Terbuka Hong Kong itu tidak lagi mahu memberi peluang kepada lawan yang mengisi ranking 21 dunia itu dengan kemenangan 21-15 pada set penentuan.
Dalam pada itu, turut mara ke pusingan seterusnya adalah pasangan beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menewaskan beregu England, Ethan Van Leeuwen-Chole Birch 21-7, 21-14 dalam masa 30 minit. – MalaysiaGazette