Penerima Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin bergambar bersama Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (tengah) dan Dr. Razli Che Razak, Naib Canselor UMK (dua dari kiri).

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan sebanyak RM66,000 bagi Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin kepada 132 orang pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Penerima bantuan itu merupakan peminjam PTPTN daripada golongan kurang berkemampuan.

Setiap pelajar yang layak menerima bantuan berjumlah RM500 secara one off dan disalurkan ke dalam akaun bank pelajar.

Pelaksanaan program ini juga adalah dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan UMK bagi memastikan penerima adalah daripada kumpulan sasaran yang layak.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, Program Bantuan Pengajian
KPT-PTPTN Prihatin ini diadakan untuk menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban kewangan pelajar sepanjang pengajian di universiti.

Norliza Abdul Rahim (dua dari kanan) menyerahkan replika kad sumbangan Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin kepada pelajar yang layak.

“Saya berharap bantuan ini memberi sinar kepada pelajar untuk terus mencipta kejayaan dalam akademik dan sahsiah, menjadi pendorong untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai keputusan cemerlang serta menjadi kebanggaan ibu dan ayah sekali gus membantu pelajar mendapat pekerjaan serta mengubah nasib keluarga setelah tamat pengajian,” tambah beliau lagi.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin kepada pelajar UMK yang diadakan di Dewan Keusahawanan UMK di sini.

Turut hadir Prof. Dato’ Dr. Razli Che Razak, Naib Canselor UMK; Datuk Norasni Ayob,
Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN; Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif
PTPTN; Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi
Korporat dan Pemasaran PTPTN dan Hamdan Razali, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Kelantan.

Pada 15 Julai 2024, PTPTN melalui program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin telah menyalurkan bantuan kepada 85 pelajar yang layak di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru dengan jumlah peruntukan berjumlah RM42,500. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here