Kebanyakan bas sekolah ada bas 'pencen'. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kemalangan jalan raya melibatkan bas berusia 54 tahun yang membawa murid-murid di Thailand menarik perhatian mengenai keselamatan bas sekolah di negara ini.

Oriental Daily melaporkan, kebanyakan bas sekolah di Malaysia merupakan “bas pencen” yang pernah berkhidmat sebagai bas persiaran dan bas ekspres.

Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Profesor Wong Shaw Voon berkata, had usia bas persiaran dan bas ekspres telah dinaikkan daripada 12 tahun kepada 15 tahun.

Beliau berkata, keadaan itu bermakna bas tersebut akan “pencen” dan diubah suai kepada bas sekolah selepas 12 hingga 15 tahun.

“Sesetengah pemandu juga akan mengikut jejak bas untuk bertukar kerjaya daripada pemandu bas ekspres kepada pemandu bas sekolah,” katanya.

Menurutnya, kadar kemalangan bas sekolah bagaimanapun adalah lebih rendah berbanding bas persiaran dan bas ekspres.

Jelasnya, keadaan itu berlaku kerana had laju antara bas ekspres dan bas sekolah adalah berbeza dan bas sekolah yang beroperasi di taman-taman perumahan jarang dipandu melebihi 80 kilometer sejam.

Katanya, bas persiaran dan bas ekspres sebaliknya perlu dipastikan berada dalam keadaan paling elok kerana beroperasi untuk masa yang panjang sehingga 24 jam sedangkan bas sekolah beroperasi untuk jarak dan masa yang pendek.

Shaw Voon berkata, pihak berkuasa tidak menetapkan piawaian spesifik untuk bas sekolah, tetapi semua kenderaan komersial, termasuk bas, perlu melalui pemeriksaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Beliau berkata, walaupun kadar kemalangan jalan raya untuk bas sekolah adalah rendah, tetapi masih ada isu yang perlu diambil perhatian.

Katanya, antaranya adalah sama ada bas sekolah yang bersaiz lebar sesuai dibawa dalam kawasan perumahan yang berjalan sempit.

Selain itu, ujarnya, kualiti pemandu bas sekolah juga harus diberi perhatian.

Beliau juga mencadangkan pihak sekolah dan ibu bapa melakukan pemantauan dalam aspek usia bas sekolah, penyediaan alat pemadam api dan alat keselamatan, serta perancangan laluan bas sekolah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here