logo polis
Gambar hiasan

ISKANDAR PUTERI – Tindakan seorang bapa membuat laporan palsu mengatakan empat anaknya hilang pagi tadi membawa padah apabila ditahan polis.

Ketua Polis daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, punca sebenar suspek yang berusia 41 tahun itu membuat laporan polis kerana mempunyai hutang keliling pinggang.

Menurut beliau, perkara tersebut terbongkar selepas lelaki itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini pada pukul 2.40 pagi.

“Dalam laporan tersebut menyebut empat anak-anaknya berusia dua hingga lapan tahun hilang di kawasan Mutiara Rini di sini.

“Sepasukan anggota dari bahagian siasatan jenayah IPD Iskandar Puteri mengesan kanak-kanak tersebut tetapi suspek gagal menunjukkan lokasi sebenar dan keterangannya didapati mencurigakan.

“Hasil siasatan mendapati keempat kanak-kanak tersebut berada di rumah isteri suspek dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumarasan memberitahu, siasatan lanjut mendapati suspek dikatakan sering mengabaikan anak-anaknya yang masih kecil itu.

“Selain itu, suspek juga mempunyai hutang dengan pihak lain yang menyebabkan suspek membuat laporan palsu kerana khuatir anak-anaknya diganggu akibat gagal melunaskan hutang,” katanya.

Tambahnya, suspek akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru bagi mendapatkan permohonan reman bagi membantu siasatan, esok.

Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta kanak-kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak, serta Seksyen 182 Kanan Keseksaan.

“Polis menasihati orang ramai agar tidak membuat laporan palsu, kerana menyalahi undang-undang dan boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here