Persembahan oleh Persatuan Alunan Seni Budaya Sabah.

KOTA KINABALU – Festival Mayapada: Keamanan Untuk Bumi yang dianjurkan di
Galeri Azman Hashim (GAH) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini
mengangkat mesej keamanan sejagat yang perlu ditekankan khususnya kepada
generasi muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Nusa Centre, Said Zakir Said Osman s berkata, festival tersebut yang mengangkat muzik dan lagu etnik serta lagu berunsur alam daripada pelbagai etnik diadakan sebagai harapan kepada kesejahteraan bumi dengan harapan menghindari pencemaran alam, peperangan dan segala kerosakan terhadap alam semula jadi dan kemanusiaan.

“Festival ini merupakan kempen untuk masyarakat menghargai alam semula jadi dan
menanam sikap menghormati dan mencintai alam.

“Dalam suasana hari ini yang menyaksikan alam dicemari dan dirosakkan oleh
tangan-tangan manusia melalui pencemaran yang dilakukan, merosakkan hutan
rimba dan yang paling malang adalah peperangan.

“Maka, Festival Mayapada adalah satu usaha untuk menyedarkan manusia tentang
kemanusiaan yang sentiasa mempunyai cinta baik sesama manusia mahupun
terhadap alam semula jadi,” katanya.

Beliau menjelaskan, festival tersebut menggariskan beberapa objektif, antaranya
untuk menyampaikan mesej terhadap kesejahteraan alam dan kemanusiaan sejagat,
memupuk semangat perpaduan pelbagai bangsa melalui persembahan kesenian,
serta menyediakan pengisian budaya untuk rakyat Malaysia dan pelancong luar
negara.

Dalam pada itu, Pengarah GAH UMS, Prof. Madya Dr. Mohamad Puad Bebit berkata,
GAH yang mula beroperasi sejak November 2021 merupakan bangunan ikonik menjadi pusat sehenti kepada pelbagai acara dan persembahan.

“Konsep galeri tidak hanya menjadi lokasi pameran seni visual tetapi turut membuka ruang untuk seni persembahan seperti seminar, bengkel, pameran kraf tempatan dan lain-lain.

“Justeru, GAH UMS amat berbesar hati kerana terpilih untuk menjadi penganjur bagi
Festival Mayapada, dan diharapkan kerjasama ini akan berterusan untuk manfaat
kepada universiti secara khususnya,” ujar beliau.

Festival Mayapada yang mendapat geran sokongan daripada Kementerian
Pelancongan, Seni dan Budaya dijayakan dengan persembahan nyanyian, bacaan
puisi dan persembahan alat muzik tradisional yang dijayakan pelajar dan pensyarah
Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS dan Persatuan Alunan Seni Budaya
Sabah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here