Kumar menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Oktober 2024 di Dataran Kawad IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor berjaya menumpaskan 19 sindiket calling center (pusat panggilan) yang menjalankan aktiviti penipuan sejak Januari hingga bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, calling centre tersebut menjalankan aktiviti penipuan pelaburan, tipu tawaran kerja, tipu menyamar sebagai rakan, pinjaman tak wujud dan phone scam.

“Menerusi serbuan calling center yang beroperasi dalam premis, seramai 156 suspek telah ditangkap melibatkan warga tempatan dan juga warganegara asing.

“Sebanyak 19 kertas siasatan telah dibuka dan tujuh daripadanya telah dituduh di mahkamah dengan pertuduhan di bawah Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c), 15(1) Akta Imigresen1959/63, Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Oktober 2024 di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Katanya, JSJK Johor akan terus mengesan, menangkap dan menjalankan siasatan terhadap mana-mana premis yang dijadikan sebagai calling centre.

Pada masa sama ujarnya, kempen-kempen berkaitan kesedaran jenayah komersil turut dijalankan kepada orang ramai bagi memastikan mereka mempunyai informasi terkini dan sentiasa cakna bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa scammer.

Langkah-langkah pencegahan jenayah turut dilaksanakan melalui pelbagai program bertujuan mendekati masyarakat untuk mendapatkan keterlibatan dan kerjasama mereka, katanya.

“Melalui program keselamatan kejiranan contohnya, setiap pegawai polis wanita di setiap balai adalah ahli Amanita yang berperanan sebagai Neighbourhood Safety,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, dari Januari hingga bulan lalu, jumlah kes jenayah indeks dari Jabatan Siasatan Jenayah Johor menunjukkan peningkatan 5.61 peratus bersamaan 4,027 kes berbanding 3,813 kes bagi tempoh sama pada 2023.

Bagaimanapun katanya, peningkatan kes jenayah indeks di kontinjen Johor adalah terkawal dan Jabatan Siasatan Jenayah Johor berjaya menyelesaikan 62.63 peratus daripada kes yang disiasat.

Dalam memerangi jenayah narkotik pula, sehingga September lalu seramai 19,155 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berada di kedudukan ketiga tertinggi di antara kontinjen dengan rampasan sebanyak 5.40 tan dadah yang bernilai RM57.84 juta.

“JSJN Johor juga telah berjaya menyita pelbagai aset sindiket dadah bernilai RM13.96 juta,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here