KUALA LUMPUR – Kadar kelahiran hidup direkodkan pada 2023 adalah 455,761 meningkat 7.7 peratus (32,637 kelahiran) berbanding 423,124 kelahiran pada 2022.

Kelahiran bayi lelaki direkodkan melebihi bayi perempuan iaitu masing-masing 235,981 dan 219,780.

Peningkatan bilangan kelahiran ini telah mengakibatkan kadar kelahiran kasar (CBR) turut merekodkan peningkatan daripada 12.9 kelahiran pada 2022 kepada 13.6 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, etnik Melayu menyumbang 67.0 peratus (305,494 kelahiran hidup) daripada jumlah kelahiran hidup pada 2023 (2022: 68.9%).

Kelahiran hidup bagi etnik Cina dan India masing-masing merekodkan peningkatan daripada 9.5 peratus dan 4.1 peratus pada 2022 kepada 9.8 peratus dan 4.4 peratus pada 2023.

Sementara itu, bumiputera lain meningkat kepada 12.7 peratus (2022: 12.5%).

Semua negeri merekodkan peningkatan CBR pada 2023 berbanding 2022 kecuali Putrajaya yang merekodkan penurunan daripada 15.7 kelahiran pada 2022 kepada 14.4 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2023.

Terengganu merekodkan CBR tertinggi dengan 21.6 kelahiran, manakala Kuala Lumpur terendah dengan 10.7 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk.

Selain itu, tujuh negeri merekodkan CBR melebihi paras nasional (13.6), iaitu Terengganu (21.6), Kelantan
(19.2), Kedah (15.4), Pahang (14.7), Putrajaya (14.4), Labuan (14.2) dan Johor (13.7).

Kadar kesuburan jumlah (TFR) merekodkan peningkatan daripada 1.6 anak pada 2022 kepada 1.7 anak bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun pada 2023.

Sejak 1970 hingga 2012, TFR negara telah direkodkan di atas paras penggantian iaitu 2.1 anak. Walau bagaimanapun, TFR mula menurun di bawah paras penggantian bermula tahun 2013 hingga kini.

Paras penggantian 2.1 anak merupakan purata bilangan anak yang perlu dilahirkan oleh seorang perempuan sepanjang tempoh kesuburannya mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangannya.

TFR bagi semua kumpulan etnik utama meningkat dengan etnik Melayu merekodkan TFR tertinggi dengan 2.2 anak pada 2023, manakala etnik Cina merekodkan TFR terendah dengan 0.9 anak bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun.

TFR bagi semua kumpulan etnik utama kecuali etnik Melayu berada di bawah paras penggantian.

Di peringkat negeri, Terengganu merekodkan TFR tertinggi dengan 2.9 anak, manakala Pulau Pinang dan Kuala Lumpur masing-masing merekodkan TFR terendah dengan 1.3 anak bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun.

Selain itu, lapan negeri merekodkan TFR melebihi paras nasional (1.7), iaitu Terengganu (2.9), Kelantan (2.7),
Pahang (2.1), Kedah (2.0), Johor (1.8), Negeri Sembilan (1.8), Perak (1.8) dan Putrajaya (1.8).

Mohd Uzir menambah, kadar kematian yang direkodkan pada 2023 adalah 196,965 kematian, menurun 4.7 peratus (9,815 kematian) berbanding 206,780 kematian pada 2022, iaitu selepas pandemik Covid-19.

Kadar kematian kasar (CDR) turut merekodkan penurunan daripada 6.3 kematian (2022) kepada 5.9 kematian (2023) bagi setiap 1,000 penduduk.

Bilangan kematian lelaki pada 2023 adalah 112,293 atau 57.0 peratus daripada jumlah kematian.

Manakala, bilangan kematian perempuan adalah 84,672 kematian (43.0%).

Etnik Melayu menyumbang 51.7 peratus (101,829 kematian) daripada jumlah kematian pada 2023 (2022: 52.5%). manakala Cina dan India masing-masing merekodkan peningkatan daripada 25.8 peratus dan 8.2 peratus pada 2022 kepada 26.3 peratus dan 8.4 peratus pada 2023.

Sementara itu, bumiputera lain meningkat kepada 10.7 peratus (2022: 10.6%).

Kumpulan umur 70-74 tahun merekodkan jumlah kematian tertinggi pada 2023 dengan 24,516 kematian (12.4%) berbanding kumpulan umur yang lain.

Sementara itu, kumpulan umur 5-9 tahun merekodkan bilangan terendah dengan 474 kematian (0.2%) pada 2023. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here