Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed. Foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kes melibatkan guru sebagai mangsa penipuan phone scam amat membimbangkann di negara ini walhal mereka sebagai golongan terpelajar dan sewajarnya memiliki tahap waspada yang tinggi terhadap ancaman jenayah.

Malah berdasarkan rekod sejak 1 Januari hingga 13 Oktober lepas, sebanyak 75 kes phone scam dilaporkan melibatkan mangsa dalam kalangan guru dan jumlah itu bersamaan 3.6 peratus daripada keseluruhan kes yang dicatatkan setakat ini.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah kerugian yang dicatatkan agak membimbangkan iaitu RM5,703,449 atau purata RM76,046 bagi setiap mangsa.

Dalam kes terbaharu, polis menerima laporan polis seorang pesara guru wanita di Sandakan, Sabah pada 9 Oktober lalu telah ditipu oleh sindiket phone scam sehingga mengalami kerugian wang persaraannya berjumlah RM1.75 juta.

Siasatan awal polis mendapati mangsa warga tempatan berusia 72 tahun memaklumkan pada 22 Ogos lalu telah menerima panggilan dari kononnya Pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Pemanggil kemudiannya mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram dan bagi tujuan siasatan, panggilan tersebut telah disambungkan kepada ‘pegawai polis’ dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk menyenaraikan semua akaun perbankan miliknya dan diminta mengangkat sumpah untuk merahsiakan perkara tersebut dan juga diarahkan untuk melaporkan diri kepada kononnya pegawai polis dari Bukit Aman setiap dua kali sehari.

“Mangsa kemudiannya diarahkan mengeluarkan kesemua wang simpanan miliknya dan dimasukkan ke dalam empat akaun bank milik pengadu itu sendiri,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ramli berkata, mangsa juga diminta memasukkan kesemua kad ATM, maklumat nombor pin serta simkad yang digunakan ke dalam satu sampul surat dan seterusnya diletakkan di dalam semak berdekatan sebuah lorong kononnya bagi membolehkan pihak penyiasat membuat audit.

Bagaimanapun mangsa hanya menyedari telah diperdaya apabila mendapati kesemua wang miliknya telah dikeluarkan dan dipindahkan tanpa pengetahuannya.

“Bertindak atas laporan polis mangsa, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Melalui kes ini, dapat dilihat bagaimana pihak sindiket secara berterusan memberi tekanan kepada mangsa melalui arahan untuk melapor diri selain ditegah bercerita kepada orang lain berkaitan kes tersebut.

“Taktik ini digunakan untuk mengawal mangsa agar terus berada dalam ketakutan dan menyekat mereka dari berfikir secara rasional dan mangsa yang gagal berfikir secara rasional akan cenderung untuk mengikut apa jua arahan yang diberikan sehingga akhirnya mengakibatkan kerugian,” jelasnya.

Oleh demikian Ramli menyeru kepada semua guru untuk turut sama cakna dengan perkembangan jenayah komersil dan modus operandi terkini yang digunakan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here