Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 15 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mendedahkan dapatan siasatan pasukan petugas khas bebas berhubung kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah yang didakwa dibuli di tempat kerja.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, beliau tidak akan melindungi pihak yang bertanggungajwab dalam kes tersebut.

“Apabila dapatan diperoleh daripada jawatankuasa bebas ini kita akan  mendedahkan, transparency supaya semua pihak boleh ambil iktibar dengan apa yang berlaku,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan (DAP-Ipoh Timur), Lee Chuan How yang ingin tahu sama ada KKM akan mendedahkan hasil dapatan tersebut susulan isu berkenaan mendapat perhatian umum.

Sebelum ini, Dzulkefly dipetik berkata, pasukan petugas khas yang dianggotai lima ahli bebas ditubuh bagi menyiasat kes itu dan berkuat kuasa pada 10 Oktober lepas.

Kesemua ahlinya bukan anggota KKM namun mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam pelbagai bidang seperti perubatan, psikiatri, patologi, kesihatan mental serta perlakuan buli.

Seorang doktorditemui mati di kediamannya di Lahad Datu, Sabah, pada 29 Ogos lalu didakwa disebabkan tindakan bunuh diri kerana tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.

Perkara itu didedahkan adik mangsa, dikenali sebagai YS Tay yang mendakwa kakaknya, Tien Yaa, ditindas oleh ketua jabatan menyebabkan dia menghadapi tekanan sepanjang bertugas akibat beban kerja melampau.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, KKM telahpun mengambil inisiatif terhadap beberapa perkara bagi mengelak insiden seperti itu berulang lagi.

Antaranya, melancarkan sistem MyHELP bagi membolehkan pegawai menyalurkan aduan mengenai insiden buli terus kepada Unit Integriti, Ibu Pejabat KKM tanpa perlu melalui penyelia atau ketua jabatan.

Selain itu mewujudkan Pasukan Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) yang akan turun ke lapangan bagi mengenal pasti petugas kesihatan yang memerlukan bantuan awal psikologi atau Psychological First Aid (PFA).

Menyediakan program sokongan kepada pegawai perubatan dan petugas kesihatan lain yang dinamakan sebagai “Kintsukuroi” di hospital tertentu dan memperkenalkan program House Officer Encouragement and Reassurance Through Sharing and Support (HEARTS) di peringkat hospital bagi memberi sokongan dan membina daya tahan pegawai perubatan siswazah.

KKM turut mengeluarkan “Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja Bagi Anggota KKM” melalui Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsan (NCEMH).

Jelasnya, garis panduan itu bertujuan meningkatkan kesedaran petugas kesihatan berhubung isu buli di tempat kerja, menjelaskan prosedur pelaporan, langkah-langkah pencegahan dan intervensi terhadap individu dan organisasi bagi memelihara kesejahteraan fizikal dan mental anggota serta mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan harmoni, bebas daripada ancaman buli. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here