Gambar arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran supayamelakukan potongan subsidi telur secara berperingkat untuk mengelakkan impak besar kepada pasaran.

Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Lee Yoon Yeau berkata, jika menghentikan subsidi telur, maka keadaan itu bermakna harga telur akan terapung mengikut keadaan semasa.

Beliau berkata, perkara itu pernah dibincangkan dalam konsultasi mengenai Bajet 2025, tetapi tiada ketetapan dibuat.

“Secara umumnya, masing-masing mencari satu pendekatan untuk menyelesaikan isu (subsidi) ini,” katanya kepada China Press.

Jelasnya, setiap telur menerima subsidi 10 sen pada masa ini dan harga pasti akan naik jika subsidi dimansuhkan.

Katanya, pihak persekutuan bagaimanapun tidak boleh menganggarkan kadar kenaikan harga telur, kerana ia bergantung kepada pengeluaran ladang-ladang yang berlainan.

“Peniaga telur berharap jika kerajaan mahu menghentikan subsidi, maka ia harus dilaksanakan secara berperingkat untuk mengurangkan impak,” katanya.

Mengenai kos ternakan semasa, Yoon Yeau berkata, walaupun kos makanan ternakan telah jatuh, tetapi kos keseluruhan tidak menurun secara signifikan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dilapor akan mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C sekiranya bekalan kembali pulih dan stabil.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah menamatkan subsidi berkenaan wajar dipertimbangkan berdasarkan kejayaan penamatan subsidi ayam yang memberi penjimatan RM100 juta sebulan.

Katanya, penjimatan daripada subsidi itu dapat dimanfaatkan untuk membangunkan sektor agromakanan lain yang lebih mendesak. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here