Kerja-kerja menyelamatkan feri ikonik Pulau Pinang yang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan Muzium Feri terapung sudah memasuki hari ke-11.

GEORGE TOWN – Kedudukan feri ikonik yang tersadai di atas timbunan lumpur menjadi cabaran terbesar dalam usaha menyelamatkan feri ikonik Pulau Pinang yang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan Muzium Feri terapung pertama di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Printhero Merchandise Sdn. Bhd., Abdul Hadi Abu Osman berkata, keadaan itu menyebabkan feri senget dan tidak stabil.

Jelas beliau, walaupun ada kebocoran dikesan namun ia bukan masalah utama yang dihadapi oleh pasukan penyelamat dalam memastikan feri berada dalam kedudukan tegak sebelum sebarang pembaikan dilakukan.

“Lumpur yang tidak sekata di kawasan cetek tempat feri ditempatkan menyebabkan ia berada dalam kedudukan condong.

“Ini menambah kesulitan kepada kerja-kerja penyelamatan di mana kestabilan feri menjadi faktor kritikal untuk mengelakkan lebih banyak kerosakan.

“Sebelum kerja pembaikan boleh dilakukan, kami perlu memastikan feri ini stabil. Jika tidak, air boleh masuk dari bahagian tepi, memburukkan lagi keadaan,” katanya di sini.

Pada 9 Oktober lalu, feri tersebut hampir tenggelam semasa berada di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) dan keputusan segera diambil untuk memindahkannya ke kawasan cetek.

Keputusan ini menghalang feri daripada tenggelam sepenuhnya pada kedalaman lapan meter namun sejak ditunda, pasukan penyelamat terus menghadapi cabaran untuk menstabilkannya di atas lumpur yang tidak rata.

Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, pasukan  penyelamat berjaya menstabilkan feri buat seketika kelmarin namun kestabilan hanya bertahan selama 30 minit sebelum feri kembali senget.

“Selain daripada lumpur yang tidak rata, kerja-kerja penyelamatan juga terhalang oleh pasang surut air laut, ini kerana operasi hanya boleh dilakukan ketika paras air laut berada dalam keadaan rendah atau surut.

“Projek ini sepenuhnya dibiayai oleh syarikat tanpa sebarang bantuan kerajaan dengan kos operasi menyelamat kini mencecah RM300,000.

“Syarikat juga telah mengalami kerugian lebih RM1 juta kerana kerja-kerja restorasi perlu dijalankan semula jika feri ini berjaya diselamatkan.

“Kami berharap agar orang ramai memberikan sokongan sepenuhnya atas usaha ini dalam bentuk sumbangan. Untuk pertanyaan lanjut boleh hubungi [email protected].,”katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here