Johari Abdul Ghani
Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk prosiding bagi mendapatkan maklumat lanjut komitmen jaminan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Turut dipanggil ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung Pengurusan Akaun Belum Terima (ABT) yang berada di bawah Lembaga ini.

Prosiding bagi kedua-dua isu ini akan ditetapkan pada bulan November ini, kata Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Pagi tadi, Ketua Audit Negara, atuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi telah memberikan taklimat kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini berhubung Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 – Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023.

Taklimat ini bermula pada pukul 11.30 pagi dan telah berlangsung selama dua jam.

“Antara perkara yang menarik perhatian PAC dalam taklimat pada hari ini adalah ABT dan komitmen jaminan 1MDB,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 mengesyorkan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan aset berkaitan syarikat 1MDB dan SRC International Sdn Bhd daripada pelbagai pihak, sama ada dari dalam dan luar negara.

Menurut laporan itu, dana berkenaan bagi menampung perbelanjaan balik hutang syarikat 1MDB dan SRC serta perbelanjaan hutang lain memandangkan Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AAMKA) akan ditutup selewat-lewatnya pada 2028, seperti yang ditetapkan dalam Arahan Amanah AAMKA.

Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan geran berjumlah RM39.737 bilion kepada syarikat 1MDB bagi tempoh 2019 hingga 2023 untuk tujuan pelunasan prinsipal dan perbelanjaan lain termasuk faedah bon serta bayaran kupon.

Selain pelunasan berkenaan, Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan peruntukan berjumlah RM9.456 bilion yang terdiri daripada sejumlah RM5 bilion bagi prinsipal Sukuk Islamic Medium Tern Notes (IMTN) yang akan matang pada 27 Mei 2039 dan RM4.456 bilion bagi bayaran kupon IMTN bagi tempoh 2024 sehingga 2039 (15 tahun enam bulan.

Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 3/2024 itu, Kerajaan Persekutuan sudah mula melaporkan Komitmen Jaminan terhadap pinjaman syarikat 1MDB sebanyak RM32.208 bilion (2017: RM31.651 bilion) dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan tahun 2018.

Pelaporan dalam penyata kewangan berkenaan adalah berbangkit daripada ‘Letter of Support’ dan ‘Settlement Agreement’ pinjaman syarikat 1MDB oleh Kerajaan Persekutuan.

Kedudukan baki Komitmen Jaminan syarikat 1MDB bagi tempoh lima tahun daripada 2019 hingga 2023 menunjukkan penurunan berikutan penyaluran geran oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pelunasan pinjaman syarikat 1MDB, katanya.

Menurut laporan tersebut, Kerajaan Persekutuan perlu membuat pelunasan bayaran kupon IMTN sebanyak RM287.50 juta setahun dengan unjuran sebanyak RM4.456 bilion daripada 2024 sehingga tempoh matang pada 2039. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here