Empat daripada 131 lelaki warga dari Myammar termasuk etnik Rohingya yang merusuh dan meloloskan diri dari Blok Lelaki Depot Imigresen Sementara Bidor, ditemui sekitar jam 3:30 petang tadi, berhampiran perkampungan Orang Asli Sanding. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memandang serius hasil siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung kejadian tahanan etnik Rohingya yang lari dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB) pada 1 Februari lalu yang mendapati wujud unsur kekerasan dan penderaan fizikal dan mental terhadap mereka sejak tahun 2020 hingga 2021.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban menegaskan, JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pegawai.

Walau bagaimanapun, JIM sedang menunggu laporan penuh daripada EAIC berkaitan hasil siasatan bagi tindakan lanjut.

“Sekiranya didapati terdapat unsur-unsur kekerasan dan penderaan, JIM akan mengambil tindakan keras terhadap pegawai-pegawai tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” tegas beliau dalam kenyataan di sini.

Jelas beliau, JIM mempunyai sebanyak 25 buah depot imigresen termasuk Baitul Mahabbah yang meliputi 18 buah depot imigresen sedia ada, dua buah depot imigresen sementara dan lima buah Baitul Mahabbah.

Di dalam pengurusan Depot Imigresen, JIM sentiasa mematuhi ketetapan standard piawaian antarabangsa iaitu United Nation Standard Minimum Rules For The Treatment of Prisoners (The Nelson Mandela Rules) dan International Committee of The Red Cross (ICRC) – Healthcare in Detention, Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003 dan Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen. – MalaysiaGazette

Didera mental, fizikal punca tahanan etnik Rohingya lari dari Depot Bidor

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here