Zubaidah dan Siti Norziana menunjukkan paras air yang naik sebelum ini di kediaman mereka di Kampung Kebun Baru Sungai Durian, Kukup Pontian, hari ini

PONTIAN – Penduduk Kampung Kebun Baru Sungai Durian, Kukup di sini melakukan persiapan awal memindahkan  peralatan rumah ke tempat tinggi bagi mengelak terkena banjir susulan ramalan berlaku air pasang besar dalam masa terdekat.

Menurut penduduk, walaupun terdapat ban atau penahan air, mereka tetap bimbang air sungai atau laut melimpahi tebing seperti yang berlaku pada April tahun lalu.

Ibu tunggal, Zubaidah Haron, 66, berkata, keluarganya mengambil pengajaran daripada kejadian banjir yang berlaku pada tahun lalu dengan membuat persiapan awal kali ini.

“Sudah lebih seminggu musim hujan dan selepas ini musim air pasang pula. Kami sekeluarga termasuk menantu, Siti Norziana Suhaimi (27 tahun) sudah pun membuat persiapan membuat persiapan.

“Ini termasuk dokumen penting seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan sudah diletakkan di tempat selamat dan mudah dibawa jika banjir berlaku,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Zubaidah, walaupun sudah membuat persediaan awal mereka masih bimbang malah tidak dapat tidur lena memikirkan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku itu.

Ini kerana pada tahun lalu fenomena tersebut berlaku dan kampung tersebut yang berdekatan sungai dan laut mengalami banjir.

“Kami tidak sempat selamatkan barang ketika banjir berlaku tahun lepas kerana berlaku secara mengejut pada awal pagi selepas hujan ketika itu.

“Banyak perkakas rumah yang rosak antaranya peti ais dan mesin basuh yang tidak boleh digunakan dan perlu dibaiki akibat terkena banjir,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nora Haron, 64, memberitahu, berdasarkan pengalaman tahun lepas, banjir disebabkan air pasang besar berlaku dengan pantas.

“Banjir yang lepas berlaku sekitar pukul 2 pagi. Keadaan sangat kelam kabut ketika itu. Kedudukan rumah pula terletak 10 meter dari tali air menyebabkan limpahan air banjir berlaku dengan pantas.

“Dengan musim hujan ketika ini, kami kena lebih berhati-hati. Kami perlu berwaspada jika keadaan air pasang semakin tinggi,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengenal pasti 745 lokasi hotspot banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini.

Pengarahnya, Siti Rohani Nadir berkata  hotspot membabitkan Batu Pahat sebanyak 186 lokasi, Segamat (103); Muar (87); Kluang (78); Tangkak (59); Pontian (58); Kota Tinggi (56); Johor Bahru (44); Mersing (38) dan Kulai (36).

Dalam pada itu, MTL yang diramal bermula lebih awal iaitu penghujung bulan ini berbanding lazimnya pada awal November.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here