Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hadir Program Persidangan Meja Buat Ketua Pesuruhjaya SPRM bersama bank-bank komersial di ibu negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 projek pembangunan dikaitkan Kerajaan Selangor sedang diteliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dakwaan wujud unsur rasuah membabitkan Menteri Besar Selangor Pemerbadaan (MBI).

Pada masa sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya juga sedang menyiasat lima buah syarikat dipercayai mempunyi saham membabitkan beberapa individu, termasuk ahli politik dalam kes itu.

“Kita sedang meneliti lebih kurang lima syarikat kerana dikatakan ada saham disimpan dalam syarikat (MBI) itu melibatkan beberapa individu ditahan serta ahli politik terbabit.

“Kita juga akan melihat 20 projek kerajaan negeri yang kita dapat maklumat dikatakan ada pembayaran rasuah namun saya tidak boleh dedahkan nama-nama projek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Persidangan Meja Buat Ketua Pesuruhjaya SPRM bersama bank-bank komersial di ibu negara hari ini.

Mengulas lanjut berhubung perkembangan siasatan kes MBI, setakat ini Azam memaklumkan, SPRM belum lagi memanggil ahli politik berpengaruh yang dikatakan terlibat.

Katanya, kes terbabit akan bergantung kepada siasatan yang dijalankan pegawai penyiasat dalam mengumpulkan keterangan dan sebagainya.

“Pada masa ini, ia tergantung apakah dokumen dan keterangan yang diperoleh pegawai penyiasat. Saya serahkan kepada mereka sekiranya hendak panggil sesiapa jua. Tidak kira ahli politik dan sebagainya untuk menjawab soalan kami.

“Kalau kami hendak panggil seseorang yang penting dalam hal ini kita perlu dapatkan keterangan menyeluruh. Jangan panggil mereka berpuluh-puluh kali sebab ramai yang akan muak dengan kami (SPRM),” jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Azam enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan di media sosial mengenai ahli politik berpengaruh yang disiasat adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya tidak boleh komen, ia boleh jadi sesiapa. Jadi tunggulah,” ujarnya secara ringkas.

Bagaimanapun beliau menegaskan, SPRM hanya menjalankan siasatan berdasarkan maklumat dan aduan daripada pelbagai pihak.

“Kalau kes melibatkan kepentingan awam, kita akan menjalankan siasatan terus. Untuk sektor swasta pula, polisi kami  mesti ada pengadu yang sahih datang kepada kami.

“Seperti saya katakan tadi kalau tuan-tuan dengar saya penuh ucapan tadi, fokus kita adalah masih lagi melibatkan sektor swasta yang menjaga duit rakyat atau pun menguruskan dana rakyat.

“Kita tidak perlu menunggu pengadu sebenar hendak datang sekiranya pegawai-pegawai saya telah membuat satu verifikasi kes ini ada sebab yang munasabah untuk dijalankan siasatan.

“Jadi perkara yang remeh-temeh mengatakan ini isu politik dan sebagainya,  terserahlah kepada mereka nak sebut tentang hal berkenaan saya tidak ada komen tentang perkara itu,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here